BN menang 21 kerusi,PH lima, PN dua

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung kelmarin.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh (gambar) yang mengumumkan keputusan pilihan raya itu berkata, Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Beliau juga berkata, sejumlah 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian, yang berjalan kelmarin.

“Jumlah tersebut meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos,” katanya, pada sidang media di sini malam kelmarin.

Dalam pada itu beliau berkata, proses pengundian berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan perjalanan PRN Melaka kali ini.

PRN Melaka diadakan kelmarin (20 November) ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. — Bernama