LRA Bayai jaminan bekalan air Simanggang

TINJAU… Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ketika menyertai lawatan rombongan ke tapak projek bekalan air di LRA Bayai, Bandar Simanggang pada Oktober lepas.

SRI AMAN telah mengharungi detik sukarnya pada tahun 2019. Ini kerana pada tahun berkenaan, Sri Aman terpaksa berdepan dua masalah serius yang berlaku secara serentak iaitu jerebu dan kekurangan air bekalan air bersih akibat kemarau.

Masalah jerebu telah memaksa penutupan sekolah dalam kalangan pelajar dan pada masa sama menyebabkan sekitar 100,000 penduduk Sri Aman berdepan kesukaran untuk mengharungi hidup secara normal disebabkan kekurangan bekalan air bersih.

Namun mujurlah dua masalah berkenaan berakhir sebelum penghujung tahun itu dengan keajaiban dilihat berlaku di Sri Aman pada tahun lepas dan tahun ini disebabkan ketiadaan masalah kemarau serta jerebu.

Kini, penduduk Sri Aman hanya terpaksa berdepan satu lagi masalah baharu dalam hidup mereka semua iaitu mengelak dijangkiti virus Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan.

Apabila berbicara tentang bekalan air bersih mungkin ramai penduduk Sri Aman masih belum lagi mengetahui satu projek terbaharu daripada kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan air sekiranya berlaku kemarau pada masa akan datang.

Projek yang dimaksudkan adalah pengambilan air mentah dari kawasan Sungai Batang Lupar menuju ke Loji Perawatan Air (LRA) Bayai dekat Bandar Simanggang bagi kawasan Bahagian Sri Aman.

Ia adalah merupakan salah satu daripada Projek Bekalan Air Bahagian Sri Aman yang diumum pada lawatan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Bandar Simanggang pada Oktober lepas.

Turut hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dato Simoi Peri, Residen Sri Aman, Datu Indit Bangai dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ir Chang Kuet Shian.

Menerusi cadangan berkenaan, pihak kerajaan akan bertindak membina saluran paip air jenis 1000 mmo MSCL sepanjang 29 kilometer dari LRA Bayai, Sri Aman menuju ke Sungai Batang Lupar yang berada di sekitar kawasan Engkilili dan Lubok Antu.

Selain itu, projek tersebut juga turut melibatkan pembinaan sebuah rumah pam berkapasiti 75 juta liter sehari (MLD), kemudahan ‘raw water intake’ juga berkapasiti 75 MLD dan kerja-kerja berkaitan.

“Projek ini menelan kos sebanyak RM198.6 juta. Ia sedang memasuki peringkat akhir reka bentuk dan disasar untuk tujuan tender pada pertengahan Disember ini,” kata Pengurus Wilayah Selatan JBALB Sarawak, Ir George Lee Chun Lung pada taklimat lawatan itu.

Tambah beliau pelaksanaannya akan mengambil masa selama 21 bulan dengan matlamat utama projek ini adalah untuk memastikan LRA Bayai mempunyai air mentah mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air bersih di Bandar Simanggang dan sekitarnya.

Maka menjadi harapan seluruh warga Sri Aman agar pelaksanaan Projek Penyaluran Bekalan Air Mentah dari LRA Bayai, Sri Aman ke Batang Lupar itu nanti akan menjadi kenyataan bermula tahun hadapan.

Lagi pun dengan terlaksananya projek pengambilan air mentah itu nanti maka warga Sri Aman tidak perlu lagi berasa begitu risau terhadap kedatangan musim kemarau yang pernah menjejaskan hidup mereka sebelum ini.

Laksanakanlah projek ini demi kepentingan warga Sri Aman. Pastikan ia siap mengikut jadual dikehendaki agar kawasan bahagian ini terus maju ke hadapan di bawah kendalian Agensi Pembangunan Sri Aman sehingga tahun 2030 nanti.

Oleh VALENTINE NGUMBANG