Banyak projek pembangunan dilaksanakan

TERIMA KASIH… Datuk Hasbi Habibollah (tengah) menerima cenderamata daripada Mohd Nawawi Wahad,turut kelihatan ialah Datuk Rosey Yunus dan Lukanisman di Dewan Masyarakat Bekenu semalam.

BEKENU: Pembentangan Bajet 2022 yang menyaksikan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM10.53 bilion kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membolehkan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata demikian di Majlis Kesyukuran Peserta FELCRA Berhad Kawasan Miri di Dewan Masyarakat Bekenu semalam.

Katanya, keprihatinan dan kesungguhan kerajaan untuk mencapai keseimbangan dalam pembangunan luar bandar dan bandar adalah selaras dengan nilai-nilai Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Aspirasi Keluarga Malaysia ialah keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang telah dipupuk di kalangan peserta FELCRA seluruh Malaysia sejak 1996 dan sejak 1987 khususnya di Sarawak melalui Projek RASCOM.

“Masyarakat agar dapat bersama menzahirkan rasa kesyukuran di atas pembangunan ke arah Luar Bandar Sejahtera serta usaha permulihan yang dipacu negara di kala pandemik Covid-19 demi kelestarian rakyat”, jelasnya.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan komited dalam memacu ekonomi di seluruh negara agar rakyat dapat kembali menikmati kesejahteraan.

“Sejumlah RM10.53 bilion yang diperuntukkan kepada KPLB dalam Bajet 2022 pastinya akan menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera selaras Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

“Di Sarawak, FELCRA Berhad merupakan antara agensi di bawah seliaan KPLB yang telah berjaya membangunkan seluas 47,731 hektar tanaman komoditi sawit yang memberi impak pembangunan kepada sejumlah 20,307 orang Peserta Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P), yang turut merangkumi Peserta Ladang Rakyat dan Ladang Sejahtera.

“FELCRA Berhad dapat mengagihkan keuntungan Interim 1 dan 2 bagi tahun 2021 berjumlah RM3.02 juta kepada para peserta di projek-projek berhasil di Bungai Mummong, Kampung Keluru, Pejuang Kelulit, Sepupok dan Sungai Entulang”, ujar beliau lagi.

Khusus bagi Kawasan Miri, FELCRA Berhad telah membangunkan lebih dari 930 hektar tanah bermula tahun 1996, menyantuni lebih 550 peserta dan keluarga mereka akan meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat.

Hadir bersama ialah Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pengurus Besar Wilayah FELCRA Sarawak Mohd Nawawi Wahab serta ketua-ketua kaum setempat.

Oleh ADUM LIU