Perancangan wujudkan kilang baja di Sarawak

SUMBER REZEKI…Penarik Umar Awang,76, (kanan) melihat becanya diperiksa oleh mekanik basikal Low Eng Lock, 60, sebelum meneruskan pekerjaannya di Jalan Kuala Hiliran di Kuala Terengganu.• Foto BERNAMA

BEKENU: Harga baja pertanian meningkat berlipat memang diakui dan mendapat rungutan pekebun, maka lahir satu perancangan untuk mewujudkan sebuah kilang baja di Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas perasmian Majlis Kesyukuran Peserta FELCRA Berhad Kawasan Miri di sini semalam.

Katanya, harga baja itu sendiri sebenarnya tidak mahal, disebabkan kos pengangkutannya telah menjadikan harga baja itu naik berlipat dan mahal dijual di Sarawak.

“Di FELCRA ini mempunyai FELCRA Niaga, yang mana ia mengeluarkan baja dan kita melihat perkara ini tentang pembukaan sebuah kilang untuk menurunkan harga baja.

“Pihak FELCRA telah berbincang dengan beberapa buah pihak tentang mewujudkan kilang baja di negeri kita dengan cara usaha sama,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Hasbi turut berpeluang menyantuni 100 pelajar sekali gus menyampaikan Pek Kembali Ke Sekolah berupa peralatan persekolahan serta berkongsi Pek Prihatin Keluarga FELCRA berupa bakul makanan asas bersama 50 ibu tunggal dan 50 warga emas menerusi projek-projek FELCRA sekitar Miri.

“Sehubungan itu, sumbangan yang bernilai sekitar RM20 ribu terbabit diharapkan dapat meringankan kesan pandemik kepada para penerima, dan dapat memberi mereka semangat untuk bersama memacu pembangunan kembali ekonomi negara dan masyarakat mereka khususnya,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pengurus Besar Wilayah FELCRA Sarawak Mohd Nawawi Wahab serta ketua-ketua kaum.