Akses pasaran global melalui ICP,MRT Corp

SET tren elektrik terakhir bagi Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat tempatan telah mendapat akses pasaran antarabangsa melalui Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan nilai RM88.3 juta.

Ketua Pegawai Kewangan MRT Corp, Shahrul Fadli Omar berkata, program ICP bagi projek MRT juga membuka peluang pekerjaan kepada lebih 4,200 individu di samping memberikan manfaat kepada lebih 300 syarikat tempatan sehingga kini.

Beliau berkata, set tren ke-49, iaitu set tren elektrik terakhir bagi Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), juga mempunyai kandungan tempatan sebanyak 60 peratus berbanding dengan set tren yang sebelum ini termasuk bagi Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

“Melalui penghantaran set tren elektrik terakhir hari ini oleh syarikat SMH Rail Sdn Bhd ke MRT Depoh Serdang ini, kita menjangkakan Laluan SSP dapat beroperasi seperti yang dijadualkan pada Januari 2023,” katanya selepas majlis meraikan penyempurnaan inisiatif ICP: Pengilangan Tren Elektrik di bawah Projek MRT Laluan Putrajaya di Serdang, pada Sabtu.

Beliau berkata masih terdapat beberapa proses yang perlu dilakukan termasuk proses kejuruteraan dan sistem ujian sebelum tren itu dapat beroperasi.

Sementara itu,, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Depositori Teknologi (TDA) Dr Sharoul Jambari berkata, pelaksanaan ICP di bawah projek MRT Laluan SSP merupakan kesinambungan kepada inisiatif yang sama semasa projek MRT Laluan SBK.

Perlaksanaannya telah menyumbang dari segi ouput kepada ekonomi sebanyak RM2 bilion berbanding yang dilaburkan berjumlah RM1.06 bilion, katanya.

Pada majlis itu, kerjasama Inisiatif ICP: Pemindahan Teknologi dan Kepakaran bagi pengilangan tempatan komponen rel ‘Cab Mask’ dan ‘Coupler Hatch’ syarikat Hyundai-Rotem dan Nova FRP Sdn Bhd turut dimeterai.

MRT Corp menjelaskan kerjasama tersebut, yang dianggarkan mempunyai nilai impak sebanyak RM258 juta, akan membolehkan syarikat tempatan memiliki kepakaran dan keupayaan untuk memenuhi keperluan operasi dan penyelenggaraan pada masa hadapan selain terlibat dalam rantaian bekalan global.

– Bernama