SELAMAT TINGGAL PIALA MALAYSIA 2021

HASRAT Sarawak United FC mencipta kejutan pada kempen Piala Malaysia musim 2021 tidak kesampaian apabila tewas secara agregat 6-3 kepada Terengganu FC dalam peringkat suku akhir, Jumaat lalu.

Meski gagal ke saingan separuh akhir, namun secara dasarnya anak-anak didik E.Evalarsan harus menerima pujian tatkala diselubungi isu di luar padang khususnya berkaitan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Malah, Sarawak United FC merupakan antara pencabar ‘senyap’ pada kempen Piala Malaysia musim ini dengan menidakkan dua pasukan elit yang beraksi dalam Liga Super iaitu Sri Pahang dan Penang FC di peringkat kumpulan.

Walaupun bergelut dengan isu masalah gaji yang melibatkan pemain dan pegawai dalam pasukan, namun ternyata ia bukanlah halangan untuk Sarawak United memberi keputusan terbaik sepanjang kempen Liga Premier dan Piala Malaysia musim ini.

Pada aksi Jumaat lalu, gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) mudah menjinakkan Sarawak United FC dengan agregat 6-3 selepas menang perlawanan suku akhir kedua 4-2 di Stadium UiTM, Shah Alam malam kelmarin.

Tampil dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini, skuad kendalian Nafuzi Zain terlebih dulu di depan hasil jaringan penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah pada minit kedua.

Jelas, tuan rumah Sarawak United dilihat tertekan dalam menyerap asakan awal pelawat dengan kelicikan pemain seperti Faisal Halim, Dechi Marcel dan Faiz Nasir.

Tidak sempat untuk tuan rumah kembali mengatur gerakan, sekali lagi mereka tersentak dengan gol cantik daripada Faisal Halim setelah menerima satu umpanan menarik daripada Marcel pada minit ke-11.

Setelah itu, intensiti permainan sedikit diturunkan oleh Terengganu yang dilihat lebih santai menguasai perlawanan. Sebaliknya Sarawak United dilihat buntu untuk mencipta sebarang gerakan.

Sandro Da Silva dan S.Chanturu cuba menggerakkan serangan namun sering dipatahkan lawan. Pada minit ke-15, Faisal Halim hampir-hampir menambah gol kedua  Terengganu FC namun sedikit tersasar.

Enggan membiarkan daripada terus ditekan, pasukan kendalian E Elavarasan itu sesekali menyerang menerusi Uche Agba namun rembatan beliau amat lemah dan mudah diselamatkan pada minit ke-16.

Di sebalik kerancakan pelawat menyerang, sesekali skuad Kenyalang Emas berjaya juga mencipta beberapa gerakan namun acapkali terhalang dengan disiplin pertahanan Terengganu FC.

Percubaan terbaik mereka hadir menerusi Norshahrul Idlan Talaha@ Mat Yo yang berjaya melakukan satu tandukan yang cantik namun tepat ke penjaga gawang, Suhaimi Husin.

Sebelum keputusan dijangka kekal dengan dua gol berpihak kepada pelawat, sekali lagi Faiz Nasir mencuri tumpuan dengan meledak gol ketiga pasukan untuk mengukuhkan kedudukan separuh masa pertama dengan Terengganu FC 3-0 Sarawak United.

Positif pada separuh masa kedua buat anak buah Elavarasan lebih berani dan cuba mengimbangi perlawanan menerusi serangan balas yang sering dijana oleh Chanturu dan Sandro.

Mat Yo berjaya mendapat peluang untuk menguji penjaga gol Terengganu namun percubaannya pada minit ke-57 sedikit tersasar.

Malah, S.Chanturu turutmempunyai peluang keemasan namun rembatan beliau tepat ke sasaran penjaga gol.

Di saat tuan rumah semakin mendapat keyakinan untuk mara lebih jauh, hadir Jordan Mintah untuk sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan apabila mudah melepaskan rembatan gol pada minit ke-63 setelah umpanan baik diberikan oleh Arif Fadzilah.

Enggan mengalah, Sarawak United akhirnya berjaya mendapat gol semangat buat pasukan mereka pada minit ke-70 setelah rembatan Sandro dari luar petak penalti tidak dikawal oleh pertahanan lawan.

Tatkala Terengganu FC dilihat sedikit mengendurkan asakan dengan menukar beberapa pemain, tuan rumah mengambil peluang untuk menambah satu lagi gol menerusi Agba pada minit ke-88.

Keputusan kekal dengan Terengganu berjaya menewaskan Sarawak United di tempat lawan dengan jaringan 4-2.

Justeru, dengan kekalahan itu bermakna Sarawak United FC hanya mampu mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ kepada kempen Piala Malaysia musim 2021 ini.

Semoga, pada saingan tahun hadapan Sarawak United FC kembali memberi cabaran sekali gus mampu menaikkan semula semangat pasukan dari Bumi Kenyalang di pentas bola sepak negara ini.