Hargai komitmen Tentera Penyelamat

RASMI… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Combined Boys & Girls Home and Children’s Home di Kota Samarahan. • Foto HERRIEY NAHA

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak amat menghargai keprihatinan dan komitmen Tentera Penyelamat (SA) dalam usaha membantu komuniti terutama membentuk masyarakat menjadi insan berguna kepada negeri dan negara.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, SA merupakan ‘bumbung sementara’ untuk golongan yang memerlukan yang mana mereka dilatih dan dibantu menyesuaikan diri dengan keperluan hidup sekali gus dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

Katanya, beliau difahamkan bahawa aktiviti SA diperluaskan di Sarawak pada era pentadbiran Gabenor Sarawak, Anthony Abell dan dalam tempoh itu, SA telah banyak menyumbang kepada kemajuan masyarakat terutama bagi mereka yang memerlukan.

“Selain itu, SA turut membantu anggota masyarakat yang serba kekurangan, mereka yang menghadapi musibah, bencana dan sebagainya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Tapak Rancangan Rumah Kebajikan Lelaki dan Perempuan serta Rumah Kanak-Kanak SA di sini, semalam.

Bagi menghargai sumbangan SA kepada rakyat di negeri ini, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebidang tanah di sini tahun lalu bagi memindahkan rumah kebajikannya yang kini berada di Jalan Ban Hock dan Jalan Uplands.

Dalam pada itu katanya, Sarawak bertuah kerana  mempunyai banyak organisasi sukarelawan seperti SA yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan apabila kerajaan dan masyarakat memerlukan mereka termasuk Persatuan Sukarelawan Muslim.

“Inilah Sarawak, kita saling tolong antara satu sama lain tanpa mengira agama…itu penting kerana kita saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu saya ingin kita semua mengekalkan budaya ini dan kerajaan pasti akan mempertahankan dan mengekalkan budaya persefahaman ini,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Serantau Kementerian Wanita, Markas Wilayah Tentera Penyelamat (SA) Malaysia, Mejar Mary Ng, Pegawai Wilayah SA, Mejar Francis Ng dan Pegawai Kor dan Ketua Pasukan SA Kuching, Kapten Raymond Aloba.

Menurut kenyataan media SA, hak milik tanah seluas 7.5 ekar telah diberikan untuk pajakan selama 60 tahun kepada SA.

Melalui peruntukan tanah itu, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) juga telah memberikan dana bernilai RM4 juta bagi membantu membina fasiliti baharu di kawasan itu selain bantuan tambahan turut diberikan oleh Pusat Perubatan Borneo sebanyak RM9 juta.

Ditubuhkan di Malaysia pada 1938 dan beroperasi di Kuching pada 1950, SA adalah sebuah badan kebajikan yang menyediakan pusat penjagaan dan perkhidmatan untuk mereka yang terdesak.

Ia merangkumi pusat penjagaan untuk kanak-kanak dan orang tua, program pendidikan melalui tadika dan pusat jagaan harian, pusat keperluan khas untuk golongan yang kurang upaya dan pelbagai program sosial melalui pusat khidmat masyarakat SA.

Oleh SYAMIMI HUSNA