GPS komited bantu masyarakat

TERIMA KASIH… Dato Sri Fatimah Abdullah menyerahkan inisiatif kepada beberapa golongan sasar semasa Program Penyampaian Bantuan Inisiatif Kerajaan Sarawak dan Pemantauan Projek PPDK Pakma Gading dan PAWE Lundu di Mahligai Gading Lundu, semalam.

LUNDU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Kerajaan Negeri tidak hanya fokus kepada pembangunan secara fizikal namun sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat.

“Selain daripada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bangunan dan sebagainya, Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari sentiasa memberi bantuan sokongan kepada rakyat menerusi beberapa inisiatif yang tidak diberikan negeri lain.

“Justeru, pembentukan kerajaan yang stabil adalah penting bagi memastikan pemberian inisiatif ini dapat diteruskan agar banyak golongan yang mendapat faedah daripadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa Program Penyampaian Bantuan Inisiatif Kerajaan Sarawak dan Pemantauan Projek Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Pakma Gading dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lundu di Mahligai Gading Lundu, semalam.

Sementara itu, beliau mendedahkan sebanyak 42, 068 ibu bersalin yang menerima manfaat melalui Bantuan Ibu Bersalin (BIB) pada tahun 2021, 67, 677 individu menerima manfaat daripada Endowment Fund Sarawak (EFS) dan 8,748 individu yang menerima manfaat daripada Geran Tahunan Khas (GTK).

Sementara itu, seramai 214, 099 warga emas yang menerima manfaat daripada bantuan menerusi Kenyalang Gold Card manakala, seramai 5,241 individu telah menerima bantuan menerusi Bantuan Ikhsan Kematian (BIK).

Tambah Fatimah, kini terdapat 320 badan atau organisasi yang berkolaborasi dengan kerajaan di bawah pemberian inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC).

Oleh RYNNA SHA’ERRA