MENJEJAK PILIHAN RAYA PERTAMA

DR. SUFFIAN MANSOR

SEBUAH negara demokrasi seperti negara kita memang mengamalkan pemilihan wakil rakyat ke majlis perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri atau parlimen menerusi pilihan raya. Kita di Sarawak juga telah mengadakan beberapa pilihan raya peringkat negeri dan parlimen sejak merdeka lagi.

Persoalannya tahukah kita bila pilihan raya pertama diadakan di Sarawak? Bagaimanakah proses-proses awal memperkenalkan pilihan raya kepada penduduk Sarawak?

Sarawak sebenarnya telah mengadakan pilihan raya sejak zaman pemerintahan British lagi.Ini sejajar dengan dua perkara yang harus dilaksanakan oleh pihak British. Pertama adalah memenuhi perkara lapan dalam Perlembagaan Sembilan Perkara yang dibuat semasa era Raja Vyner Brooke.  Perlembagaan ini diisytiharkan pada tahun 1941.

Perkara lapan tersebut menyentuh tentang berkerajaan sendiri untuk penduduk Sarawak.  Menerusi perkara ini rakyat Sarawak akan dilatih untuk berkerajaan sendiri dan akhirnya diamanahkan untuk mengurus negeri mereka sendiri. 

Kedua pula adalah Piagam Atlantik mengenai penentuan diri yang dinyatakan dalam perkara tiga. Piagam Atlantik ini pula dirangka oleh Amerika Syarikat dan British bagi membentuk agenda masa depan dunia ketika itu. Manakala penentuan diri ini merujuk kepada kebebasan penduduk itu memilih kerajaan yang mereka mahukan.

Perubahan Perlembagaan

British yang menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua tamat hanya melaksanakan prinsip berkerajaan sendiri dan penentuan diri pada tahun 1956 secara berperingkat. Dalam hal ini keahlian majlis perundangan Sarawak yang dikenali sebagai Council Negri diubah dengan memberi ruang kepada 24 ahli dipilih menerusi proses pilihan raya daripada 45 ahli dewan tersebut.

Sehubungan dengan itu penduduk Sarawak diberi peluang untuk mengundi dalam pilihan raya bagi memilih calon-calon mereka. Untuk tujuan itu Ordinan Perlembagaan Kerajaan Tempatan telah diluluskan untuk memberi ruang kepada pilihan raya tempatan diadakan. 

Ketika itu terdapat tiga majlis bandaran dan lima majlis penasihat bahagian telah mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli-ahlinya. Pilihan raya majlis bandaran pertama diadakan di Kuching pada November 1956. 

Apa yang menariknya pilihan raya ini ialah tidak wujudnya parti politik untuk meletakkan calon mereka. Pilihan raya itu dijalankan dengan penyertaan individu-individu tertentu dan adanya membentuk jawatankuasa bagi menggabungkan beberapa calon untuk bertanding. Manakala kerusi dipertandingkan adalah terdiri daripada beberapa ward dalam majlis kerajaan tempatan.

Namun demikian pemilihan calon-calon ini oleh pengundi hanya di peringkat majlis bandaran, dan ahli-ahli yang menang pada peringkat pertama ini pula akan memilih calon ke peringkat Council Negri.  Pilihan raya ini hanya melatih rakyat mengenal dan terlibat dalam proses pemilihan wakil mereka dan bukannya membentuk kerajaan negeri.   

Pilihan Raya Umum

Kejayaan mengadakan pilihan raya majlis tempatan dan bahagian ini membuka ruang kepada pilihan raya umum pertama di Sarawak pada tahun 1959.  Pilihan raya ini hanya melibatkan beberapa calon individu dan gabungan antara mereka. 

Seperti pilihan raya majlis tempatan diadakan tadi pengundi akan memilih calon ke peringkat majlis perbandaran dan majlis luar bandar sahaja.  Ahli-ahli yang menang dalam pilihan raya ini akan memilih pula wakil mereka ke peringakt bahagian dan Council Negri.  Pilihan raya ini dikenali sebagai Pilihan raya tiga peringkat.

Dalam pilihan raya tersebut juga tiada parti yang bertanding.  Namun demikian telah muncul parti pertama di Sarawak pada tahun tersebut iaitu Sarawak United People’s Party (SUPP). Tetapi parti ini mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya tersebut secara langsung. 

Pilihan raya umum pertama ini juga satu latihan kepada penduduk Sarawak mengenal lebih dekat tentang perjalanan dan proses pilihan raya.  Pilihan raya ini tidak membawa kepada pembentukan kerajaan negeri.

Menjelang Pembentukan Malaysia

Pilihan raya umum 1959 ini membawa pula kepada pilihan raya 1963.  Pilihan raya 1963 ini amat penting kerana ia membawa kepada pembentukan kerajaan pertama Sarawak.  Pada 1 November 1961 Council Negri memberi persetujuan mengenai hasrat dan tujuan ini.  Dengan kata lain merealisasikan hak berkerajaan sendiri. 

Kali ini usaha memantapkan pilihan raya ini ialah dengan mewujudkan ahli dipilih melebihi dua pertiga ahli Council Negri iaitu dari 24 ahli kepada 36 ahli dipilih.  Ini kerana pilihan raya yang akan diadakan pada tahun 1963 ini penting untuk membentuk kerajaan dan  melantik seorang ketua menteri. 

Selain 36 ahli dipilih terdapat tiga ahli ex office dilantik.  Tambah daripada itu kerajaan negeri yang akan dibentuk mempunyai hak memilih tiga lagi ahli dalam Council Negri.

Namun demikian pemilihan kerajaan negeri ketika itu masih lagi bersifat tidak langsung iaitu pilihan raya tiga peringkat.  Pertama penglibatan pengundi adalah jelas untuk memilih calon mereka di peringkat majlis tempatan sama ada majlis bandaran mahupun majlis luar bandar. 

Setelah peringkat ini selesai dijalankan maka ahli-ahli yang dipilih di peringkat majlis kerajaan tempatan akan memilih ahli dalam Majlis Penasihat Bahagian. Peringkat ini pengundi tidak berperanan dalam memilih calon peringkat kedua ini ke Majlis Penasihat Bahagian. 

Terdapat lima majlis penasihat bahagian ketika itu iaitu Bahagian Pertama, Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima.  Setiap majlis ini mempunyai hak memilih ahli-ahli mereka ke Council Negri mengikut bilangan penduduk dan saiz bahagian tersebut. 

Bahagian Ketiga mempunyai hak memilih calon terbanyak iaitu 11 orang.  Bahagian Pertama pula mempunyai hak kedua terbanyak untuk memilih calon mereka iaitu 10 orang.  Ia diikuti pula oleh Bahagian Kedua dan Keempat dengan enam orang ahli masing-masing.  Bahagian Ketiga pula hanya mempunyai tiga orang ahli yang boleh dipilih.

Persaingan Pertama Memilih Kerajaan

Ketika itu telah adalah beberapa parti politik muncul dan didaftarkan seperti Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Ra’akyat Jati Sarawak (BARJASA), Sarawak National Party (SNAP), Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) dan Sarawak Chinese Association (SCA).  Parti-parti ini telah menyertai pilihan raya tersebut dan membentuk satu gabungan yang dikenali sebagai Perikatan Sarawak.

Namun demikian PANAS telah keluar daripada gabungan tersebut dan bertanding secara sendirian.  Selain kelima-lima buah parti ini SUPP yang telah wujud lebih awal juga menyertai pilihan raya tersebut.  Terdapat sejumlah besar calon bebas juga bertanding dalam pilihan raya ini dan kebanyakan tumpuan mereka di Bahagian Ketiga sehingga ke lima.

Keputusan pilihan raya ini amat mendebarkan kerana tiada satu parti mampu meraih majoriti.  Oleh itu berlaku lobi melobi calon bebas yang menang dalam pilihan raya tersebut.  Perikatan Sarawak yang menang besar terpaksa pula bersaing dengan gabungan baharu antara PANAS dan SUPP.

Perikatan Sarawak mempunyai kekuatan di Bahagian Kedua dan Keempat.  Manakala gabungan PANAS dan SUPP pula mempunyai kekuatan di Bahagian Pertama. Bahagian Kelima pula dimenangi oleh calon bebas. Manakala Bahagian Ketiga menjadi penentu kepada siapa yang mampu memenangi pilihan raya tersebut. 

Akhirnya Perikatan Sarawak berjaya mendapat sokongan calon bebas di Bintangor yang membolehkan mereka menguasai Bahagian Ketiga. Kejayaan ini membolehkan kerajaan pertama dibentuk di Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Stephen Kalong Ningkan.

Pengalaman penduduk Sarawak dalam pilihan raya 1963 cukup menarik dan mendebarkan.  Kekuatan setiap parti adalah cukup seimbang.  Namun kejayaan ini memihak kepada Perikatan Sarawak yang melakar sejarah sebagai kerajaan pertama bagi Sarawak.  

# Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,  Universiti Kebangsaan Malaysia.