Salur ilmu kebombaan kepada komuniti

SIDANG MEDIA… Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom pada sidang media Program Bomba Komuniti dan SURI.Turut kelihatan, Datuk Rosey Yunus (kiri) dan Datu Khirudin Drahman (kanan) di Dewan Masyarakat Sepupok semalam.

SEPUPOK NIAH : Kerjasama di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan syarikat minyak multinasional PETRONAS untuk meyalurkan ilmu kebombaan kepada komuniti ternyata memberi impak besar di dalam mencegah bencana kebakaran.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ilmu kebombaan seperti ini perlu ada pada semua komuniti rumah panjang dan kampung bagi membendung bencana yang boleh meragut nyawa dan harta benda ini.

“Saya melihat banyak bencana seperti kebakaran di rumah-rumah panjang dan kampung yang melibatkan kehilangan harta benda dan kadang-kadang melibatkan nyawa,” kata beliau pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Bomba Komuniti dan Skuad Urus Risiko Isi Rumah (SURI) 2021 di Dewan Masyarakat Sepupok,  semalam.

Justeru kata beliau, penyaluran ilmu seperti ini memang wajar dilaksanakan dan beliau meminta pihak Bomba dan PETRONAS agar meneruskan progam serupa ini ke kawasan yang lain.

Rundi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena menambah, melalui program seperti ini,  sekurang-kurangnya penduduk rumah panjang dan kampung tahu cara mencegah dan menangani bencana seperti kebakaran.

“Saya dan Datuk Rosey Yunus (Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak) serta Dato Majang Renggi ( penyandang kerusi DUN Samalaju) akan terus menyokong untuk kesejahteraan rakyat dan sentiasa memberi kerjasama apa sekali pun.

“Sangat berharap pihak Bomba dan PETRONAS akan meneruskan program ini di seluruh Sarawak untuk berkongsi ilmu dengan lebih ramai ahli masyarakat demi  kesejahteraan bersama, paling penting ialah keselamatan dan kehidupan yang sempurna”, ujarnya lagi.

Seramai 55 peserta Bomba Komuniti dan 45 peserta wanita (SURI) mengambil bahagian di dalam program ini dan  kesemua peserta adalah dari tiga kawasan DUN iaitu Kemena, Samalaju dan Bekenu.

Hadir sama di majlis ialah Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Dato Majang Renggi dan Pengarah JBPM Sarawak,  Datu Khirudin Drahman serta pegawai-pegawai kerajaan tempatan.

Oleh ADUM LIU