Kerajaan komited bawa kesejahteraan untuk rakyat

KENANGAN… Datuk Amar Jamilah Anu merakamkan gambar kenangan bersama para penerima inisiatif pada Program Penyampaian Bantuan Inisiatif Kerajaan Sarawak dan Pemantauan Projek PPDK Pakma Gading dan PAWE Lundu di Mahligai Gading Lundu, semalam.

LUNDU: Kerajaan terus komited untuk memastikan semua golongan di negeri ini mendapat keselesaan dan bantuan terutamanya dari segi bantuan asas.

Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL), Datu Amar Jamilah Anu berkata, perkhidmatan bantuan kebajikan disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.

“Program seperti ini diadakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada golongan sasar jabatan tercapai sepenuhnya.

“Di samping itu, program seperti ini merupakan satu platform bagi penduduk di kawasan Lundu untuk mengetahui dengan lebih lanjut perkhidmatan dan inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa Program Penyampaian Bantuan Inisiatif Kerajaan Sarawak dan Pemantauan Projek PPDK Pakma Gading dan PAWE Lundu di Mahligai Gading Lundu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata semua inisiatif yang disalurkan oleh Kementerian amnya dan JKM Sarawak khasnya bersesuaian dengan perkembangan kesejahteraan komuniti, sosioekonomi, kebajikan dan sosial masyarakat di Tanjung Datu.

Jelas beliau, Kerajaan Sarawak telah dan akan terus menyediakan pelbagai inisiatif serta peluang-peluang yang amat luas kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Dalam majlis yang sama, beliau menyeru para penduduk di kawasan tersebut untuk terus memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan kemajuan terutamanya dari segi infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Residen Bahagian Kuching, Datu Sherrina Hussaini, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani dan Pengarah JKM Sarawak, Noriah Ahmad.

Oleh RYNNA SHA’ERRA