Pembangunan pesat di DUN Tamin

UNTUK RAKYAT…Christopher Gira Sambang melawat projek pembinaan pusat hemodialisis di Klinik Kesihatan Selangau.

SEPERTIMANA kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain, DUN Tamin turut menerima pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, DUN Tamin sedia membangun lebih pesat pada masa akan datang apabila lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana meluluskan projek bagi memacu lebih banyak aktiviti pembangunan di DUN Tamin.

“Projek tersebut seperti Kompleks Sukan Mini bernilai RM8 juta, Selangau Waterfront (RM5 juta), Bangunan Pejabat Daerah (RM5 juta), Dewan Serbaguna SJKC Tong Ah Selangau (RM500,000) dan menaik taraf Jalan Pasai Siong (RM16 juta), pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau (RM5 juta) dan banyak lagi,” ujarnya.

Katanya, sejumlah RM46.167 juta diperuntukkan bagi memperluaskan liputan bekalan elektrik 24 jam di kawasan DUN Tamin.

“Apabila selesai kelak, kemudahan itu akan memberi manfaat kepada 80 rumah panjang atau 1,429 keluarga,” jelasnya.

Gira memberitahu, kawasan tersebut meliputi Ulu Balingian/Jalan Sapudun, Sekuau/Ulu Oya/Ulu Pakoh/Bunau,Tamin/Batang Oya, Ulu Selangau/Jalan Dijih/Jalan Mukah dan Jalan Kua/Ulu Mukah.

“Kerja pembinaan telah bermula pada awal 2020 dan dijangka siap tahun ini.

“Bagaimanapun, projek tersebut mengalami kelewatan disebabkan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya lagi.

Menurutnya, projek pembekalan elektrik di kawasan Ulu Balingian/Jalan Sapudun menelan kos sebanyak RM7,082,379.30 diikuti Sekuau/Ulu Oya/Ulu Pakoh/Bunau (RM12,420,009.50).

“Projek pembekalan elektrik di kawasan sekitar Tamin/Batang Oya pula menelan kos sebanyak RM14,738.502.31, Ulu Selangau/Jalan Dijih/Jalan Mukah (RM1,473,958.35) dan Jalan Kua/Ulu Mukah (RM10,952, 916.80),” ujar beliau.

Beliau berharap projek tersebut dapat siap lebih awal demi kepentingan penduduk setempat.

“Saya mewakili penduduk DUN Tamin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dan Kerajaan Sarawak atas keprihatinan terhadap rakyat di negeri ini terutama di kawasan Tamin,” katanya.

Terdahulu, Gira mengadakan lawatan bagi memantau projek rakyat di kawasan Hulu Pakoh dan Batang Oya.

“Di sebelah pagi, saya sempat memantau pembinaan projek bekalan elektrik luar fasa kedua kawasan Sekuau untuk tujuh rumah panjang di Pakoh dan Bunau.

“Saya diberi taklimat bahawa pemasangan sebanyak 364 tiang termasuk kabel siap sepenuhnya. Manakala, 100 tiang lagi sedang dipasang,” ujarnya.

Pada sebelah petang, Gira berkesempatan merasmikan bekalan elektrik Rumah Akoh sepanjang 32 pintu di Jalan Tajam Batang Oya.

“Sebelum ini, rumah panjang tersebut menggunakan penjana elektrik sebagai sumber tenaga elektrik. Saya difahamkan oleh TR Akoh sebelum ini beliau berbelanja RM300 hingga RM400 sebulan untuk generator.

“Dengan adanya bekalan eletrik 24 jam sekarang, keluarga beliau membayar bil eletrik lebih kurang RM80 sebulan,” katanya.

Oleh AKUN GIMAN