Kekangan industri kelapa sawit di Sarawak

INDUSTRI kelapa sawit mempunyai banyak prospek untuk peluang pekerjaan, sama ada sebagai pekerja separuh mahir atau profesional.

Berdasarkan statistik daripada Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), sebuah agensi kerajaan yang mengawal selia industry  kelapa sawit Malaysia, luas kawasan yang ditanam dengan kelapa sawit di Sarawak adalah kira-kira 1.6 juta hektar (sehingga Disember 2020) dan ia merupakan kawasan tanaman komoditi ini terbesar di Malaysia.

Sasaran Kerajaan Sarawak adalah untuk menanam dua juga hektar kelapa sawit  dan ini  merupakan sebahagian daripada pelan keseluruhan untuk penanaman kelapa sawit bersepadu,  seiring dengan  aktiviti pertanian lain serta  pembangunan perindustrian.

“Tidak seperti Semenanjung Malaysia, kawasan tanaman untuk para penanam kecil-kecilan di Sarawak adalah lebih kecil disebabkan beberapa faktor seperti  kawasan tanah yang sesuai agak terhad, kelapa sawit adalah industri baharu serta  isu-isu berkaitan dengan pemilikan tanah untuk Tanah Adat Bumiputera di beberapa kawasan.  Hanya jika isu-isu ini dapat diselesaikan baharulah kawasan tanaman kelapa sawit akan meningkat pada masa akan datang,” kata Pengerusi Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA), Eric Kiu.

Kata beliau lagi, berkenaan dengan estet persendirian dan usaha sama di Sarawak, isu-isu berkaitan industri kelapa sawit yang biasa dihadapi adalah tuaian yang rendah, serangga perosak dan penyakit, kekurangan pekerja dan pembangunan produk hiliran.

Justeru pembangunan pesat Kluster Bersepadu Kelapa Sawit (POIC)  akan menyediakan pembahagian lebih besar untuk penggunaan dan aplikasi kelapa sawit, sama ada untuk produk makanan atau bukan makanan. 

“SOPPOA yakin dapat mengatasti semua isu ini dan menjadikan Sarawak sebagai pusat pengeluaran minyak kelapa sawit dan produk-produk berkaitan,” tambah beliau.

Taburan hujan di beberapa bahagian di Sarawak juga menyebabkan penurunan produktiviti kelapa sawit kerana serangga yang terlibat di dalam proses pendebungaan terjejas akibat hujan, seterusnya menghasilkan tandan buah yang lebih kecil dan kurang buahnya. 

Selain daripada kawasan berbukit di beberapa bahagian di Sarawak yang juga tidak sesuai untuk penanaman kelapa sawit, tanah yang tidak subur berbanding dengan Sabah  juga menyumbang kepada pengurangan jumlah tuaian.

“Di Sarawak, terdapat keperluan untuk mempunyai lebih banyak akiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi meningkatkan produktiviti empat kilang kelapa sawit kami dan untuk itu, MPOB telah bekerjasama dengna banyak estet untuk meningkatkan hasil tuaian di sini,” kata beliau.

“R&D juga  diperlukan di sini memandangkan Sarawak sekarang ini mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit terbesar di Malaysia.  Perkara seperti varieti klon untuk disesuaikan dengan taburan hujan di sini atau  pemulihan tanah yang tidak subur akan memberi banyak manfaat kepada industri ini.  Perlu diingat bahawa jutaan ringgit dilabur di dalam industri kelapa sawit di Sarawak oleh sektor-sektor swasta dan Kerajaan Sarawak, oleh yang demikian produktiviti tinggi daripada tanaman ini akan menguntungkan semua yang terlibat,” kata beliau.

Sebagai tambahan kepada R&D untuk varieti lebih baik untuk kelapa sawit, terdapat juga keperluan untuk melakukan R&D berkenaan penyakit-penyakit yang menjejaskan tanaman, terutama Ganoderma, sejenis kulat perosak yang boleh membunuh kelapa sawit. 

Di negeri ini, anai-anai dan tikus juga merupakan makhluk perosak yang boleh memusnahkan kelapa sawit dan buahnya, justeru kawalan ke atas semua perkara ini paling penting untuk meminimumkan kerugian di dalam industri ini. 

Di dalam isu kekurangan pekerja pula, faktor utamanya adalah populasi Sarawak yang kecil, selain persaingan untuk mendapatkan tenaga kerja daripada bidang pembinaan, industri minyak dan gas, industri  logistik dan perkhidmatan serta pengeluaran.

Dengan pilihan bidang kerja yang luas ini,  jelas bahawa pekerja tempatan tidak akan memilih untuk bekerja di dalam industri kelapa sawit.  Tambahan pula, industri kelapa sawit di sini mengehadkan pengambilan pekerja asing untuk pekerja dari Indonesia dan faktor ini menyumbang kepada masalah  kekurangan pekerja.  Pekerja warga negara asing lain seperti  Bangladesh dan Myanmar pula  tersedia untuk industri kelapa sawit di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Secara ideal dengan peningkatan pembangunan POIC di Sarawak, ini akan melengkapi pertumbuhan industri pada tahun-tahun mendatang kerana selain hanya mengeksport kelapa sawit, Sarawak juga boleh mengeluarkan banyak produk berkaitan makanan dan bukan makanan memandangkan POIC akan menambah nilai kepada negeri dan rakyatnya,” kata beliau lagi.

Malah POIC merupakan bahagian akhir kitaran industri minyak sawit, dari proses penanaman hinggalah pengilangan dan pengeluaran dengan sentiasa menambah nilai kepada negeri dan rakyat. 

 Sekilas pandang terhadap industri ini, beliau berkata bahawa pertambahan populasi dunia akan sentiasa meningkatkan permintaan untuk lebih banyak produk dan minyak, termasuklah kelapa sawit.

Ini kerana kedua-duanya paling produktif berbanding minyak sayur-sayuran,  rendah kos pengeluarannya serta mampan. Sepohon kelapa sawit mampu mengeluarkan hasil sehingga 30 tahun sebelum perlu ditanam semula dan ini mengurangkan pencemaran jika dibandingkan dengan tanaman lain yang perlu ditanam semula setiap tahun serta menyebabkan masalah hakisan dan larut lesap tanah.

“Apa yang ramai orang tidak sedar tentang industri kelapa sawit ialah ada banyak prospek untuk peluang pekerjaan, sama ada sebagai pekerja separuh mahir dan profesional.  Pertambahan ladang kelapa sawit di bahagian lain dunia seperti Amerika Selatan, Afrika dan Asia akan terus meningkatkan permintaan untuk pengurus ladang, pengendali kilang dan jurutera, profesional di dalam bidang penapisan yang mengelurkan bahan kimia khas dan lain-lain produk.  Selain daripada itu, terdapat juga permintaan untuk aktiviti-aktiviti R&D di estet, kilang dan kilang penapisan, justeru industri minyak kelapa sawit akan terus mencari profesional di dalam pelbagai kapasiti pada tahun-tahun mendatang kerana ia adalah industri yang produktif dan mampan,” tambah beliau mengakhiri temu bual.