Rakuten turunkan sasaran akhir tahun

KUALA LUMPUR: Rakuten Trade Sdn Bhd menyemak semula sasaran akhir tahunnya bagi petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dengan menurunkannya kepada 1,585 daripada 1,630 kerana ia tidak menjangkakan premium penilaian akan kembali ke dalam pasaran dalam masa terdekat ini walaupun terdapatnya kehadiran beberapa dana asing.

Ketua Penyelidikannya Kenny Yee berkata, petunjuk pasaran itu juga diunjur kekal seperti prestasi sekarang bagi tempoh separuh pertama 2022 tetapi sentimen dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2022 dengan unjuran akhir tahun sekitar 1,700 mata.

Menurutnya sentimen terjejas disebabkan oleh pengumuman Cukai Makmur yang akan dikenakan sekali kepada syarikat semasa pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini dan penarikan semula had cuti setem ke atas nota kontrak.

Namun katanya, satu-satunya sokongan bagi bursa tempatan adalah penilaian pasaran rendah ketika ini yang mungkin mengehadkan aliran keluar. 

“Dengan prestasi tidak menentu di pasaran Wall Street, kami menjangkakan beberapa dana akan beralih ke destinasi lain terutamanya di Asia. Malaysia, yang menjadi sebahagian daripada rantau Asia Tenggara juga dijangka menerima kesan limpahan aliran dana,” katanya pada satu taklimat media, di sini, hari ini.

Yee berkata, dari segi penilaian, nisbah harga-perolehan FBM KLCI kini berada pada diskaun tertingginya pada 30 peratus daripada purata sejarah berbanding bursa serantau lain. 

Beliau berkata penilaian rendah bursa tempatan itu mungkin diterjemahkan kepada kemeruapan rendah jadi dana asing mungkin menganggap pasaran tersebut sebagai pasaran yang selamat buat masa ini, seperti yang dilihat menerusi penurunan aliran keluar dana asing setakat tahun ini yang berjumlah RM1.5 bilion berbanding jumlah yang besar sebanyak RM24 bilion pada 2020.

“Walaupun keadaan kemeruapan mungkin berkurangan buat masa ini, ia dijangka meningkat memandangkan program pengurangan pembelian bon Amerika Syarikat (AS) kini menjadi kenyataan ditambah dengan kemungkinan kenaikan kadar faedah, justeru dana asing dijangka terus mengalir masuk ke Malaysia kerana jangkaan kemeruapan rendah akan berfungsi sebagai penampan kepada sebarang perubahan serantau,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan menarik yang dilihat adalah aliran masuk asing sejak Ogos yang berjumlah RM3.9 bilion.

Bagi tahun depan, beliau menjangkakan aliran masuk dana asing kekal positif ke dalam pasaran tempatan walaupun kuantumnya mungkin tidak tinggi.

Yee berpandangan pada 2022, sektor perbankan dijangka terus kekal berdaya tahan untuk menyokong FBM KLCI.

Bagi penyertaan runcit pula, beliau berkata bagi tahun ini aliran masuk daripada sektor runcit berjumlah RM25.6 bilion berbanding RM14.2 bilion pada 2020, namun begitu, penarikan semula duti setem RM200 mungkin tidak menggalakkan dagangan momentum tinggi pada masa depan.

Mengenai perkembangan lain, beliau mengunjurkan ringgit mengukuh berbanding dolar AS di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah global ditambah dengan jangkaan kembalinya semula dana asing.

“Keseluruhannya, kami menjangkakan ringgit diniagakan sekitar RM4.10-4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini,” katanya. – Bernama