Kawal harga sementara ke atas bahan binaan

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menggesa kawalan harga sementara ke atas bahan binaan penting agar tidak menjejaskan ekonomi negara dengan teruk.

Pengerusinya Datuk Sim Kiang Chiok berkata, ia penting supaya kenaikan harga dapat dikawal dan diserap oleh pasaran secara perlahan tanpa memberi kejutan kepada ekonomi.

Katanya, lonjakan permintaan yang mendadak di Malaysia diakui menyebabkan kekurangan bekalan dengan negara kuasa ekonomi utama turut membuka ekonomi.

“Walaupun Indeks harga menunjukkan kenaikan yang kecil, namun dengan kenaikan yang berterusan kesannya akan menjadi ketara dalam satu tempoh masa.

“Ini ditambah lagi dengan pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi ini terdapat permintaan yang besar untuk bahan untuk menyokong aktiviti pengeluaran mereka.

“Dengan pembukaan ekonomi kita di bawah Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kebanyakan sektor ekonomi dapat memulakan semula dan meneruskan operasi perniagaan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, permintaan minyak dan gas juga melonjak menyebabkan kenaikan harga bahan mentah termasuk kos pengeluaran dan pengangkutan meningkat.

“Kuasa beli ringgit kita yang lebih rendah, kerana kadar pertukaran kepada dolar AS dan mata wang utama lain telah menurun, juga menyebabkan harga bahan binaan yang diimport meningkat.

“Oleh itu, pemaju perlu menyerap kenaikan kos sekiranya hartanah itu dijual pada harga jualan tetap manakala bagi hartanah tidak terjual, pemaju boleh melaraskan harga hartanah untuk menyerap kenaikan kos tersebut,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kontraktor yang berdepan dengan ‘variasi harga bahan’, boleh menuntut kenaikan harga yang akan membantu mengurangkan kenaikan kos pembinaan.

“Kekurangan tenaga kerja juga akan menyebabkan peningkatan kos pembinaan dan kelewatan masa kerana nilai kerja akan menjadi lebih mahal dengan permintaan gaji yang lebih tinggi dan kemajuan kerja juga mungkin mengalami kelewatan.

“Dengan kadar Imunisasi yang tinggi di negara kita, kita dapat membuka ekonomi semula untuk menyelamatkan mata pencarian. Namun begitu, banyak masa yang perlu  diberikan untuk ekonomi dan perniagaan negara kita mengejar dan mempercepatkan kembali ke tahap sebelum Covid-19,” katanya.