Austria kembali ‘kurung’ penduduk

ORANG ramai berjalan di Mariahilferstrasse, sebuah lokasi beli-belah popular di Vienna, kelmarin. • Foto AFP

VIENNA, AUSTRIA: Canselor Austria, Alexander Schallenberg mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung separa di seluruh negara ekoran situasi Covid-19 yang semakin sukar dibendung di tengah-tengah peningkatan kes jangkitan virus tersebut. 

Perintah berkurung yang akan mula berkuat kuasa esok itu adalah antara yang paling tegas pernah diperkenalkan di Eropah dalam beberapa minggu ini selepas rantau tersebut secara keseluruhan mencatatkan situasi Covid-19 yang teruk akibat keengganan penduduk menerima vaksinasi.

Di bawah sekatan tersebut, penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah kecuali untuk pergi kerja dan membeli barangan keperluan asas di kedai atau bersenam.

“Peraturan tersebut pada permulaan akan berkuat kuasa selama 20 hari dengan penilaian akan dibuat selepas 10 hari.

“Sekolah bagaimanapun akan kekal dibuka meskipun ibu bapa telah diminta untuk memastikan anak-anak mereka kekal berada di rumah selagi yang termampu. Arahan bekerja dari rumah turut digalakkan.

“Kita tidak mahu adanya gelombang kelima, enam atau tujuh. Kita tidak mahu lagi berbicara mengenai perkara ini pada musim panas tahun depan,” kata Schallenberg.

Sementara itu, selain perintah berkurung, Austria turut menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang mewajibkan penduduknya untuk mendapatkan suntikan pelalian Covid-19.

“Pemberian vaksinasi Covid-19 akan mula diwajibkan kepada semua penduduk Austria yang layak bermula 1 Februari tahun depan. 

“Meskipun telah berbulan-bulan memujuk rakyat, kami gagal meyakinkan mereka untuk menerima vaksinasi.

“Vaksinasi adalah satu-satunya jalan keluar daripada pandemik ini,” ujar Schallenberg.

Austria pada Isnin lepas mengumumkan perintah berkurung bagi penduduknya yang tidak divaksin atau baru sembuh daripada wabak Covid-19 dengan mengarahkan mereka untuk tidak keluar dari rumah dalam apa yang disifatkan ramai sebagai ‘mencabul kebebasan untuk memilih’.

Bagaimanapun angka jangkitan terus meningkat kelmarin dengan catatan lebih 15,800 kes baharu di negara yang mempunyai populasi hampir sembilan juta orang itu.

Ini diburukkan lagi dengan sikap penduduknya yang enggan menerima vaksinasi, di mana hanya kira-kira 66 peratus daripada populasinya telah menerima dua suntikan lengkap setakat ini. 

Kadar itu adalah sedikit rendah berbanding purata negara-negara EU iaitu lebih 67 peratus.

Seorang pakar ekonomi, Andreas Schneider berkata, arahan terbaharu perintah berkurung tersebut disifatkan sebagai satu tragedi.

“Saya berpendapat bahawa ‘mengurung’ individu yang tidak divaksin sudah mencukupi memandangkan kerajaan mempunyai pilihan untuk melakukan demikian,” jelasnya. – AFP