India mansuh undang-undang pertanian

NEW DELHI: Kerajaan India akan mansuhkan tiga undang-undang pertanian  yang kontroversi dan mencetuskan kemarahan petani.

Perdana Menteri Narendra Modi pada Jumaat berkata pentadbirannya tidak dapat meyakinkan kesatuan peladang yang membantah akan faedah undang-undang itu yang diluluskan pada September tahun lalu.

Beribu-ribu petani berkhemah di pinggir Delhi menuntut pemansuhan undang-undang itu yang didakwa akan menjejaskan pendapatan mereka.

Mereka mengancam untuk memperhebatkan lagi bantahan semasa sesi musim sejuk Parlimen yang akan bermula pada 29 November.

“Kami memutuskan untuk memansuhkan tiga undang-undang pertanian berkenaan,” kata Modi dalam ucapannya kepada negara.

Kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) akan menyelesaikan proses perlembagaan untuk menarik balik undang-undang itu semasa sidang Parlimen, katanya.

Sebagai reaksi terhadap pengumuman itu, pakatan kumpulan petani menyifatkan ia sebagai “kemenangan” kepada kempen mereka sejak setahun lalu.

Modi turut merayu kumpulan petani untuk membatalkan tunjuk perasaan mereka.

Seorang pemimpin kesatuan dari Uttar Pradesh, Rakesh Tikait berkata tunjuk perasaan tidak akan ditamatkan serta-merta.

“Kami akan menunggu harinya apabila Parlimen memansuhkan undang-undang berkenaan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini berhujah bahawa undang-undang itu perlu untuk memodenkan sektor perladangan dan akan memberi manfaat kepada petani yang hampir 80 peratus daripadanya adalah petani kecil dengan keluasan ladang kurang daripada dua hektar.

Bagaimanapun, kesatuan peladang di negeri-negeri pertanian seperti Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh memulakan bantahan mereka tahun lalu dengan mendakwa undang-undang itu akan menghilangkan sokongan harga yang dijamin kerajaan untuk makanan ruji seperti beras dan gandum.

Pengkritik berkata undang-undang yang berorientasi pasaran itu akan menyebabkan petani terdedah kepada manipulasi harga oleh syarikat besar dalam pasaran yang tidak dikawal.

Bantahan yang berterusan itu menimbulkan masalah buat BJP untuk menghadapi pilihan raya tahun depan di tujuh negeri, termasuk Uttar Pradesh dan Punjab.- Bernama