Pemain muda membanggakan

BARISAN muda Sibu FA yang dilihat semakin mengalami peningkatan daripada setiap perlawanan diharungi.

PENGENDALI Sibu FA, Omar Mayah Mohd Abun begitu berbangga dengan prestasi pemain muda pasukan kendaliannya musim ini biarpun tidak layak ke pusingan akhir Liga SSC-FAS 2021.

Enam aksi yang telah diharungi Sibu FA dalam saingan Zon Tengah, berjaya mencatatkan tiga mata hasil daripada tiga kali seri dan tiga kekalahan.

Beliau ternyata berpuas hati dengan peningkatan aksi anak-anak buahnya ketika mengharungi saingan liga bawah umur 25 tahun musim ini, dan berdasarkan persembahan dalam enam perlawanan, Sibu FA berupaya memberi saingan kepada pasukan lawan.

Bukan sahaja keputusan yang menjadi keutamaan tetapi beliau sangat berpuas hati dengan peningkatan tahap kecergasan serta pemahaman taktikal yang ditunjukkan dalam keseluruhan permainan.

“Kami sangat bersyukur dengan prestasi dan persembahan pemain muda Sibu FA, ternyata banyak peningkatan biarpun masih ada beberapa kelemahan yang kita masih perlu perbaiki.

“Saya harap mereka mampu terus kekalkan prestasi yang sama seperti mana telah ditunjukkan dalam saingan musim ini, serta mampu berikan cabaran yang lebih baik kepada setiap pencabar bagi persiapan pasukan musim hadapan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Omar Mayah berkata untuk persiapan Liga SSC-FAS musim 2022, beliau berharap pasukan muda Sibu FA lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dan mahu mereka tampil dengan lebih mantap.

“Saya berharap dapat meneruskan legasi ini dan gembira kerana apa yang kami rancang buat masa ini, berjalan seperti yang kami mahukan dan juga berharap musim 2022, kami akan melihat lebih ramai bintang muda daripada bahagian Sibu mampu dihasilkan,” ujarnya.

Ditanya mengenai perlawanan terakhir menentang Sri Aman FA yang berkesudahan dengan kekalahan besar 0-7, Sabtu lalu Omar Mayah menjelaskan perancangan yang dilakukannya tidak menjadi dan anak-anak buahnya bermain di bawah tahap sebenar sehingga membolehkan jentera serangan Sri Aman FA membolosi gawang Sibu FA sebanyak tujuh kali.

“Perancangan tidak menjadi pada aksi petang itu, dan apa yang membezakan pada aksi di gelanggang lawan itu adalah Sibu FA bermain di bawah keupayaan sebenar.

“Sebagai jurulatih, saya akui Sri Aman FA bermain dengan begitu baik, mereka mempunyai barisan pemain berpengalaman yang rata-ratanya pernah menyarung jersi pasukan negeri.

“Saya bertanggungjawab atas kekalahan besar petang itu, dan tidak menyalahkan pemain seratus peratus kerana ada masa persembahan naik, dan ada masa persembahan turun,” tegasnya.

Omar Mayah menambah, bagi perancangan musim depan, beliau akan meneruskan program melatih pemain-pemain bermula daripada peringkat sekolah menengah di sekitar bahagian Sibu.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (PBBS) kerana telah memberi peluang kepada beliau mengendalikan pasukan bawah 25 tahun bagi menghadapi saingan Liga SSC-FAS 2021.

Oleh ADI SAFARMAN