Zulhelmi dinobat juara

JUARA… Mohamad Suharto Onnai (kanan) menyampaikan hadiah berupa peralatan memanah kepada Zulhelmi Hijazi (tengah) yang muncul juara bagi kategori remaja lelaki Pertandingan Memanah Dinamik, pada Ahad.

ZULHELMI Hijazi muncul juara bagi kategori remaja lelaki dalam Pertandingan Memanah Dinamik yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sibu, pada Ahad.

Naib johan pula disandang oleh Muhd Arif Akmal manakala tempat ketiga dimenangi oleh Aniq Shahmi Bahrin.

Bagi kategori remaja perempuan pula menyaksikan juara dimenangi oleh Alia Eryna Ayesha, Alia Aina Syakira (naib johan) dan Nur Erina Aisya (ketiga).

Sementara itu, bagi kategori lelaki dewasa, Abdul Hamed Narawi telah dinobat sebagai johan.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Abdul Khalil Salehin dan Mohd Taufik Mohd Ibrahim.

Bagi kategori wanita pula, Rachel Mowe dinobat sebagai johan, diikuti Hasmah Walie sebagai naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh Hurul Ain.

Seramai 70 peserta termasuk peserta remaja dan cilik mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan selama dua hari ini.

Pertandingan ini merupakan anjuran bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang, SMK Agama, SK Agama dan Jabatan Penerangan Sibu.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Ketua Penganjur Pertandingan Mohamad Suharto Onnai.