China kuasai Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Entebbe.• Foto AFP

Kampala: China dilaporkan akan mengambil alih Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe, Uganda dan beberapa aset lain di negara Afrika Timur itu.

India Times melaporkan ia sebagai satu lagi langkah China untuk memperoleh aset asing kerana negara peminjam gagal melunaskan pinjaman.

Presiden Uganda, Yoweri Museveni dikatakan sudah menghantar delegasi ke Beijing untuk rundingan semula dengan kerajaan China.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Museveni menandatangani perjanjian dengan Bank Exim China untuk meminjam AS$207 (RM863 juta) bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe.

Pinjaman itu mempunyai tempoh matang selama 20 tahun termasuk tempoh penangguhan tujuh tahun.

Ia bermakna Uganda mungkin menyerahkan satu-satunya lapangan terbang bertaraf antarabangsanya kepada bank berkenaan.

Negara itu bagaimanapun, berusaha merundingkan semula perjanjian itu, tetapi tidak berjaya.

Uganda pada Mac 2021 menghantar delegasi ke Beijing dengan harapan dapat merundingkan semula klausa perjanjian itu.

“Pendedahan bahawa kerajaan Uganda menandatangani perjanjian antara lain mengetepikan imuniti untuk aset kedaulatannya menimbulkan persoalan mengenai tahap penelitian dan usaha wajar dilakukan birokrat di peringkat antarabangsa,” menurut laporan allafrica.com.-AFP