Tuala buruk jadi pasu unik

PRODUK UNIK… Pasu bunga yang dihasilkan daripada tuala terpakai sudah siap dan sedia untuk dijual.

TUALA buruk biasanya akan dibuang atau dijadikan sebagai alas kaki dan kain mengelap, tetapi hakikatnya ia mempunyai nilai seni kraf yang tersendiri.

Dengan kreativiti sendiri, selain berbekalkan semangat rajin, tuala buruk boleh digunakan untuk menghasilkan pasu bunga yang unik dan menarik.

Selain kawat BRC (British Reinforced Concrete) dan simen, tuala terpakai adalah bahan utama untuk menghasilkan pasu bunga.

Untuk menghasilkan produk bermutu tinggi, setiap pasu bunga yang diperbuat daripada tuala terpakai memerlukan empat hari untuk siap.

Hari pertama, proses mencelup tuala dalam air simen sebelum diletakkan pada acuan dan dijemur sehingga kering.

Hari kedua menyapu simen pada tuala terbabit menggunakan berus cat.

Hari ketiga menanggalkan tuala dari acuan, diikuti kerja menyapu simen pada bahagian luar serta dalam menggunakan berus cat bertujuan menguatkan struktur sebelum diletakkan semula pada acuan.

Hari keempat dan terakhir adalah paling penting kerana ia memerlukan ketelitian serta kreativiti ketika menyapu simen warna pada keseluruhan pasu supaya ia kelihatan cantik dan menarik.

Untuk menghasilkan pasu bunga bersaiz sederhana yang sesuai untuk tanaman pokok hiasan, sehelai tuala berukuran 137 sentimeter (sm) panjang dan 100 sm lebar digunakan.

Semua bahan tersebut boleh didapati dengan mudah, selain kosnya cukup murah, sesiapa sahaja boleh mencuba membuatnya sendiri di rumah.

Menghasilkan pasu ini boleh dijadikan sumber pendapatan, selain sebagai hobi atau aktiviti untuk memenuhi masa lapang.

Keunikan produk ini mendapat perhatian suri rumah dan terutamanya peminat landskap, kini ia hanya bergantung kepada kerajinan kita untuk mengusahakannya.

Bak kata perpatah ‘Tepuk Dada, Tanyalah Selera’, tidak mustahil produk unik ini boleh diusahakan secara komersial kerana ia dipercayai mempunyai permintaan.

Oleh AKUN GIMAN