Sektor agrikomoditi sumbang 20 – 30 peratus KDNK

KUKUHKAN SEKTOR AGRIKOMODITI… Datuk Willie Mongin pada Majlis Pelancaran Aplikasi dan Pendigitalan Perkhidmatan Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Betong, baru-baru ini.

BETONG: Sektor agrikomoditi memainkan peranan penting dengan menyumbangkan sebanyak 20 hingga 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Willie Mongin berkata sektor tersebut telah menyumbang kira-kira RM200 bilion kepada pendapatan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo beriata kejayaan itu merupakan sumbangan para pekebun termasuk di Sarawak.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19, komoditi dalam negara menunjukkan peningkatan dari segi hasil walaupun keadaan ekonomi dalam negara serta seluruh dunia terhalang.

“Fokus sekarang tertumpu kepada komoditi sawit, getah dan penanaman lada,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jelajah Agrikomoditi #KELUARGAMALAYSIA dan Majlis Pelancaran Aplikasi dan Pendigitalan Perkhidmatan Lembaga Lada Malaysia (MPB) dekat sini.

Sementara itu, Willie berkata Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah membangunkan aplikasi LadaGO yang turut dilancarkan pada majlis tersebut.

Katanya, aplikasi tersebut merupakan usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) ke arah pendigitalan perkhidmatan yang berterusan untuk manfaat pemegang taruh, pegawai MPB serta pengusaha tanaman lada.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu turut mencadangkan agar agensi kerajaan lebih kerap datang ke Betong atau menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan komoditi seperti lada, getah dan kelapa sawit di situ.

Pada majlis sama, turut disampaikan anugerah dimenangi Aplikasi Mudah Alih LadaGo semasa Malaysia Technology Expo 2021 (MTE 2021) yang berlangsung secara hibrid pada 25 hingga 29 Oktober 2021 iaitu ‘Outstanding Innovation Award’ dan ‘Gold Award’.

Selain itu, turut diserahkan Insentif Agrikomoditi iaitu Skim Tanaman Lada Baharu dan Matang oleh MPB, Insentif Pensijilan MSPO oleh MPOB, Pisau Toreh Hornbill (Pisau Boleh Laras) oleh LGM dan ‘Bouquet’ Kayu Mata Tunas Koko oleh LKM.

Oleh ADI SAFARMAN