Tiga maut, lapan lagi cedera

SEKATAN… Kereta polis menyekat akses ke Sekolah Tinggi Oxford berikutan kejadian tembakan di Oxford, Michigan, AS. • Foto AFP

OXFORD: Seorang pelajar berusia 15 tahun melepaskan tembakan ke arah sekolah menengahnya di Michigan pada Selasa lalu membunuh tiga remaja dan mencederakan lapan yang lain sebelum menyerah diri kepada polis, kata pihak berkuasa, dalam kejadian tembakan di sekolah Amerika Syarikat (AS) paling dahsyat setakat tahun ini.

Lapan yang lain, termasuk seorang guru cedera dalam serangan itu dalam kejadian yang berlaku sejurus selepas tengah hari ketika kelas sedang berlangsung di Sekolah Tinggi Oxford, kata Pejabat Sheriff Oakland County.

Pejabat sheriff berkata, mangsa yang maut ialah seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dua pelajar perempuan yang masing-masing berusia 14 dan 17 tahun.

Daripada yang cedera, enam berada dalam keadaan stabil dan dua menjalani pembedahan.

Suspek telah ditahan dan pistol separa automatik telah dirampas, tetapi tidak ada penjelasan segera mengenai apa yang mungkin mendorong serangan di Oxford, sebuah bandar kecil kira-kira 40 batu utara Detroit.

“Tiada tentangan semasa penahanan dan suspek telah meminta peguam dan tidak membuat sebarang kenyataan mengenai motifnya,” kata pejabat sheriff.

“Ia adalah keadaan yang sangat tragis. Tiga mangsa dilaporkan maut ketika ini dan semuanya dipercayai pelajar.

“Ramai ibu bapa yang kecewa berhubung kejadian itu,” kata Sherif Michael McCabe.

McCabe berkata, polis menerima panggilan kecemasan sejurus selepas tengah hari dan penembak itu melepaskan 15 hingga 20 das tembakan selama kira-kira lima minit.

Ujarnya, suspek telah ditahan dalam tempoh lima minit selepas panggilan 911 pertama, katanya.

Presiden AS Joe Biden dimaklumkan mengenai penembakan itu semasa lawatan ke Minnesota.

“Hati saya terharu kepada keluarga yang menanggung kesedihan yang tidak dapat dibayangkan kerana kehilangan orang tersayang,” katanya.

“Seluruh komuniti mesti berada dalam keadaan terkejut sekarang,” ujar Biden.

McCabe berkata, polis telah berhubung dengan ibu bapa suspek dan menggeledah rumah mereka.

Suspek berada di dalam kelas pada hari kejadian dan melakukan serangan seorang diri.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada mangsa telah disasarkan secara khusus atau ditembak secara rawak, kata McCabe.

“Dia tidak bercakap dengan kami pada masa ini,” katanya.

McCabe berkata, polis melakukan sekatan pemantaun tempat kejadian di sekolah itu, yang mempunyai kira-kira 1,800 pelajar dan menemu bual sesiapa sahaja yang mungkin mempunyai maklumat mengenai suspek.

“Saya rasa ini adalah mimpi ngeri terburuk setiap ibu bapa,” kata Gabenor Michigan Gretchen Whitmer pada taklimat akhbar yang sama.

‘Wabak keganasan AS’

Ia adalah penembakan sekolah paling dahsyat setakat tahun ini, menurut Everytown For Gun Safety, sebuah kumpulan yang menyimpan statistik tembakan besar-besaran dan lobi untuk kawalan senjata.

Menurut angka yang disediakan oleh Everytown. terdapat 138 kejadian tembakan di sekolah di seluruh AS pada 2021 sebelum kejadian Selasa lalu

Dalam kejadian itu, 26 mengakibatkan kematian, walaupun tidak lebih daripada dua setiap kali.

Ditanya mengenai wabak penembakan besar-besaran di negara itu, Whitmer menjawab, “Ini adalah masalah ‘unik’ Amerika yang perlu kita tangani.”

Tembakan sekolah yang paling maut dalam sejarah AS ialah serangan April 2007 di Virginia Tech di Blacksburg, Virginia, yang menyaksikan 33 terbunuh, termasuk penembak, diikuti dengan serangan Disember 2012 di sekolah rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, yang menyebabkan 28 maut termasuk 20 kanak-kanak dan penembak.

Pada Februari 2018, seorang lelaki dengan senapang serangan AR-15 melepaskan tembakan di bekas sekolah menengahnya di Parkland, Florida, membunuh 17 orang.

Shannon Watts, pengasas kumpulan Moms Demand Action menggesa lebih banyak tindakan untuk mengawal senjata api dengan mengatakan terdapat 400 juta senjata api dimiliki oleh orang awam di seluruh negara.

“Jika lebih banyak senjata menjadikan kita lebih selamat, kita akan menjadi negara paling selamat di dunia,” tulis Watts di Twitter. -AFP