Awang Tengah bantu petugas barisan hadapan

ADENG IDRUS

LAWAS: Petugas barisan hadapan Covid-19 daerah Lawas menerima sumbangan daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Sari Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan di sini semalam.

Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan di Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari.

Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok menyerahkan sumbangan berkenaan kepada ketua-ketua jabatan dan agensi terlibat.

Turut hadir Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari Awang@Ibrahim bin Ahmat.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak merasa terharu dan berterima kasih atas pengorbanan semua petugas di barisan hadapan.

Sumbangan yang dihulurkan diharap dapat membantu mereka dan keluarga dalam berhadapan cabaran masa sekarang.

Awang@Ibrahim turut menyampaikan pesanan Awang Tengah yang semangatnya sentiasa bersama petugas barisan hadapan dan seluruh penduduk Lawas.

Malahan, katanya, Awang Tengah juga amat teruja untuk balik bersama rakyat di Lawas, tetapi atas nasihat dan mematuhi perintah yang dikeluarkan kerajaan, maka beliau juga terikat dengan arahan kawalan pergerakan dan menghadiri majlis yang melibatkan orang ramai.

Seterusnya beliau juga berpesan agar semua masyarakat berdoa mengikut kepercayaan masing-masing supaya wabak ini berakhir cepat serta berdoa agar seluruh penduduk di Lawas dilindungi Allah S.W.T.

Usaha juga dirangka untuk memanjangkan bantuan kepada penduduk Lawas yang terjejas kesan daripada wabak Covid-19 ini.

Oleh itu, Awang Tengah menasihatkan seluruh penduduk Lawas untuk mematuhi arahan kerajaan bagi memastikan penularan wabak itu dapat dikawal dengan cepat.