Sih Hua Tong tidak pernah hampakan golongan sasar

MENYANTUNI YANG SUSAH… Sih Hua Tong membantu Ramli yang kehilangan pekerjaan dan kini terpaksa berkerusi roda meneruskan kehidupan.

Calon Gabungan Parti Sarawak dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (GPS-SUPP) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  N11 Batu Lintang,  Sih Hua Tong merayu para pengundi di konstituensi itu memberi beliau peluang  membuktikan ikrar beliau untuk berkhidmat kepada mereka.

Dengan hanya dua hari lagi tinggal sebelum Hari Memilih pada 18 Disember ini, Hua Tong berkata para pengundi harus memikirkan semula tentang ‘calon lompat parti’ yang akan meninggalkan mereka untuk ‘padang yang lebih hijau’.

“Saya akan bertanggungjawab  dan menghormati mandat para pengundi. Sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam manifesto saya kepada anda semua, saya tahu saya boleh memenuhi semua ikrar itu dalam tempoh lima tahun akan datang.  Jika anda fikir saya telah gagal, anda boleh tidak memilih saya lagi selepas itu, tetapi sekarang beri saya peluang ini,” kata beliau.

Hua Tong yang juga Ketua SUPP Batu Lintang mempunyai beberapa teras manifesto yang antara lain melibatkan projek tebatan banjir dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Batu Lintang.

Sementara itu, seorang  pengundi Batu Lintang, Janett berkata Hua Tong memiliki hati emas.  Untuk dirinya dan golongan kurang bernasib baik, Hua Tong ibarat cahaya yang menerangi kegelapan mereka.

“Beliau selalu ada apabila seseorang memerlukan bantuan. Kami semua tahu beliau bukanlah kaya tetapi beliau tetap datang, memberikan kata-kata semangat dan berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu kami, itu lebih daripada cukup,” kata Janett.

Menurutnya lagi, tanpa mengira hujan atau panas, malah di tengah-tengah malam punHua Tong  sanggup keluar membantu penduduk yang berhadapan masalah banjir.  Justeru, bukanlah asing untuk melihat Hua Tong berseluar pendek dan berbaju hujan, mengunjungi satu rumah ke satu rumah di kawasan banjir untuk membantu penduduk berpindah atau memindahkan barang mereka ke tempat lebih tinggi.

Seorang lagi penduduk Batu Lintang, Abraham masih ingat lagi ketika Sarawak menjalani Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19, ramai ketua keluarga yang kehilangan pendapatan disebabkan penutupan syarikat tempat mereka bekerja. Untung sahaja bagi golongan ini apabila kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) datang dengan bantuan makanan dan syarikat-syarikat persendirian serta individu juga tampil memainkan peranan masing-masing.

Selama berbulan-bulan itulah Hua Tong saban hari berada di lapangan untuk membantu memikul kampit-kampit beras dan bakul-bakul  makanan bagi diagihkan kepada keluarga yang memerlukan bantuan. 

 Seorang lagi penduduk, Ramli, amat berterima kasih kepada Hua Tong kerana menghulurkan bantuan kepada beliau semasa ‘tempoh gelap’ hidupnya.  Bekas pekerja pemotong rumput itu kehilangan kerja selepas terlibat di dalam kemalangan beberapa tahun lalu.

Menceritakan kisahnya, Ramli yang kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, memberitahu bahawa dia dalam perjalanan ke tempat kerja apabila sebuah kereta melanggarnya.  Dia ditinggalkan dengan kecederaan teruk, terutama kakinya.  Selepas berbulan-bulan di hospital, Ramli pulang ke rumah usangnya yang selalu kekurangan makanan.  Dia kerap menangis apabila memikirkan bagaimana untuk menyara keluarganya dan lebih menyedihkan apabila bayi lelakinya yang berusia 18 bulan, meninggal akibat kekurangan zat.

Tiada pekerjaan bermakna tiada duit dan makan di atas meja.  Dengan keadaannya yang berkerusi roda, dia tiada duit dan tidak dapat  ke mana-mana sedangkan dia perlukan kain pembalut untuk kakinya yang masih cedera.

Ketika itulah Hua Tong muncul di depan pintu rumahnya dengan membawa makanan dan beberapa keperluan lain.  Waktu itu Ramli tidak kenal siapa Hua Tong tetapi kemudian mendapat tahu seorang klien (tempat beliau memotong rumput) menghubungi Hua Tong untuk mendapatkan bantuan.

Hari ini Ramli optimis bahawa dia akan sembuh dan berharap dalam setahun dua ini akan kembali bekerja.  Dia cukup tersentuh hati apabila Hua Tong memberi jaminan akan mencari bantuan (bernilai hampir RM700 sebulan) untuk merawat kakinya sehingga sembuh. Katanya, Hua Tong jugalah yang memberinya semangat untuk terus hidup dan sembuh.

“Saya hanya mampu berkata bahawa lelaki ini memang layak mendapat undi kita agar beliau terus membantu lebih ramai orang,” kata Ramli.

Memetik kata Hua Tong sendiri, perkara paling menyedihkan yang pernah beliau lakukan adalah memberi kata-kata semangat untuk mereka yang kehilangan orang tersayang.  Beliau juga tidak pernah lari apabila diberitahu tentang berita kematian, tidak kira orang Kristian, Islam, Buddha atau Hindu. Beliau berpendirian bahawa walaupun tiada perkataan diucapkan ketika itu, kehadiran beliau untuk menyampaikan ucapan takziah kepada kawan-kawan atau ahli keluarga si mati, memberi sedikit ketenangan kepada mereka.

Oleh CONNIE CHIENG