Razi rancang projek berimpak tinggi

LONTAR PERTANYAAN… Kadir Dikoh bertanya soalan kepada Mohammad Razi Sitam, Dr. Arnold Puyok dan Fazzrudin Abdul Rahman pada sesi Sembang Politik di Studio Samudra, Hotel Samudra, di Kuching, semalam.

KUCHING: Sebagai mekanisme alternatif kerajaan memberikan peluang pekerjaan dalam situasi ekonomi masa kini, bidang pertanian dilihat suatu perniagaan dan kerjaya yang baik boleh diceburi rakyat.

Disebabkan itu, pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam merancang untuk melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi, khusus dalam sektor pertanian sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi penduduk.

Beliau berkata, pertanian dilihat antara platform terbaik membuka peluang pekerjaan selain dengan kemudahan teknologi terkini dalam sistem pertanian memudahkan serta meningkatkan hasil tani.

“Usaha ini sudah tentu dapat disokong menerusi pembinaan pusat pengumpulan makanan (food basket) dari Betong hingga ke Jemoreng, di samping pembinaan Lapangan Terbang Spaoh bakal memacu ekonomi penduduk, termasuk di Saribas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program “Sembang Politik PRN-12: Apa pula selepas ini?”, di studio mini Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak di Samudra Hotel di sini, semalam.

Tajuk itu dibincangkan bersama-sama panel kedua, iaitu pemenang kerusi DUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan panel ketiga, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Arnold Puyok. Moderator program itu ialah Penasihat Editorial Kumpulan Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak/Mingguan Sarawak, Kadir Dikoh.

Razi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau akan meningkatkan pembangunan infrastruktur serta menyediakan kemudahan berkaitan dalam bidang pertanian di DUN Saribas dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, katanya, meskipun DUN Saribas telah memiliki 100 peratus kemudahan asas yang disediakan kerajaan di kawasan itu, penambahbaikan masih perlu dilaksanakan selain merancang menyediakan penempatan yang lebih baik kepada penduduk.

“Kalau di Saribas, penduduk memerlukan tapak rumah, contohnya seperti Skim Pembesaran Kampung (SPK). Ia lebih sesuai berdasarkan kemampuan komuniti kerana konsep SPK lebih strategik dengan adanya sistem perparitan teratur dan sebagainya.

“Malah kita juga merancang untuk membangunkan bandar-bandar kecil dengan pelbagai infrastruktur bagi mengalakkan aktiviti berkaitan sektor ekonomi, terutama bidang pertanian, termasuk komoditi dan kelapa sawit,” ujarnya.