LBS sasar 14 projek baharu bernilai RM1.6 bilion

TERBAIK… Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad Tan Sri Lim Hock San (tengah) bersama para pegawai pengurusan LBS dan MGB Berhad menunjukkan produk-produk LBS Bina Group Berhad selepas sidang media Majlis ‘2022 Media Briefing’ semalam. • Foto BERNAMA

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (LBS) umum sasaran pembangunan sebanyak 3,773 unit rumah menerusi 14 projek baharu meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak pada tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Tan Sri Lim Hock San berkata LBS berhasrat untuk melancarkan sejumlah 2,604 unit hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion di Lembah Klang, 2,128 unit di KITA @ Cybersouth dengan GDV sebanyak RM853 juta yang meliputi pangsapuri servis KITA Sejati dan rumah teres satu dan dua tingkat di KITA Bestari.

“Kami juga menyasarkan pembangunan fasa baharu pangsapuri Melodi Perdana sebanyak 321 unit di LBS Alam Perdana dan 155 unit Astella di D’Island Residence dengan GDV, masing-masing berjumlah RM120 juta serta RM132 juta.

“Ketika ini, 18 buah projek dengan anggaran GDV sebanyak RM5.3 bilion sedang dijalankan dan sebanyak 2,744 ekar dijadikan simpanan tanah masa depan LBS bagi memastikan syarikat kekal relevan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun,” kata Lim. 

Syarikat tersebut mencatatkan jualan sebanyak RM1.575 bilion, melepasi sasaran RM1.2 bilion pada 2021 walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, melalui pelbagai inisiatif termasuk pemasaran digital, pratuang IBS, dan pembangunan Laman Hartanah Maya.

Sebanyak 2,570 unit rumah mampu milik bernilai RM1.3 bilion diserahkan kepada pemilik pada tahun yang sama.

LBS juga komited untuk menyokong penuh inisiatif kerajaan Selangor dalam menyediakan 7,210 rumah mampu milik bagi rakyat menerusi projek pembangunan MBI Rumah Selangorku Idaman di enam lokasi dengan GDV sebanyak RM2.01 bilion. 

Menerusi program berkenaan, empat buah projek dijangka dilancarkan di Idaman Bandar Saujana Putra (BSP), Idaman Cahaya (Shah Alam), Idaman Sari (Puchong) dan Idaman Melur (Cybersouth) pada tahun ini manakala Idaman KITA (Cybersouth) serta Idaman Perdana (Bandar Puncak Alam) dijadualkan untuk dilancarkan pada 2023. 

LBS melancarkan kempen ‘Bring Happiness Home’ dengan menyediakan ganjaran Angpau Tahun Baru Cina sebanyak RM438,888 bagi pembeli bertuah bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2022 selain mengurangkan caj pembayaran yang lain.

Sementara itu, Lim tidak menolak kemungkinan bahawa harga rumah akan meningkat sebanyak lima hingga 10 peratus pada masa akan datang berikutan kenaikan harga bahan binaan. – Bernama