Ribuan protes rampasan kuasa

PROTES… Gas pemedih mata dilepaskan oleh pasukan keselamatan Sudan ketika penunjuk perasaan berkumpul semasa protes menuntut pemerintahan awam di Jalan 40 Omdurman di Khartoum, Sudan. • Foto AFP

KHARTOUM: Tentera Sudan melepaskan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa yang menuntut pemerintahan awam beberapa hari selepas perdana menteri meletak jawatan, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran kepada tentera supaya tidak menamakan pengganti mereka sendiri.

Penunjuk perasaan menggesa Majlis Pemerintah Sudan dibubarkan yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang mengetuai rampasan kuasa 25 Oktober lalu menahan Perdana Menteri Abdalla Hamdok ketika itu dan mencetuskan peralihan kepada orang awam sepenuhnya.

Menurut saksi, laluan menuju ke istana presiden dan ibu pejabat tentera di Khartoum ditutup dengan penempatan tentera yang besar, polis rusuhan dan unit separa tentera.

Burhan telah menolak Hamdok dan kerajaan dalam rampasan kuasa Oktober lalu, membongkar pengaturan perkongsian kuasa yang tidak menentu antara tentera dan orang awam yang ditubuhkan selepas penyingkiran autokrat lama Omar-al-Bashir pada April 2019.

Ketua tentera mengembalikan semula Hamdok pada 21 November lalu dengan perjanjian yang diterima perdana menteri sebahagiannya atas janji pilihan raya pada pertengahan 2023, tetapi gerakan protes menyelar perjanjian itu sebagai pengkhianatan dan meneruskan perhimpunannya.

Hamdok kemudian meletak jawatan pada Ahad lalu, enam minggu selepas beliau dilantik semula oleh Burhan berkata, Sudan berada di persimpangan berbahaya yang mengancam kelangsungan hidupnya.

Ketua Liga Arab Ahmed Aboul Gheit berkata, pada Selasa lalu bahawa dia menghormati keputusan Hamdok dan menggesa tindakan segera untuk menyelesaikan krisis itu.

“Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres kesal kerana persefahaman politik tidak wujud walaupun keadaan yang teruk di Sudan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada Isnin lalu.  -AFP