KKM terima bantuan peralatan perubatan

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima lagi bantuan peralatan perubatan, kali ini daripada kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) yang berpangkalan di negara ini.

Bantuan peralatan perubatan untuk kegunaan 26 hospital khusus bagi rawatan wabak Covid-19  itu terdiri daripada 3,000 penutup mulut dan hidung  jenis N95; selain 2,000 penutup mulut dan hidung jenis KN90; 20,000 penutup  muka pembedahan serta 1,200 kaca mata pelindung perubatan.

Kesemua sumbangan peralatan perubatan itu diserahkan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian kepada Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min pada satu majlis penyerahan di Pharmaniaga Berhad di sini semalam.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan dan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran.

Bai Tian berkata, peralatan perubatan itu disediakan sejurus pihaknya memohon semua syarikat dari China yang berpangkalan di Malaysia untuk menyalurkan bantuan kepada negara ini bagi merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.

“Saya amat bimbang setelah membaca laporan berita mengenai kekurangan peralatan perlindungan bagi petugas perubatan di sini. Saya juga melihat rakaman video petugas perubatan menggunakan beg plastik untuk dijadikan peralatan perlindungan untuk diri mereka sendiri susulan kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

“Jadi Kedutaan China di sini meminta untuk mendapatkan pertolongan dan bantuan dari seluruh China dan kami juga meminta syarikat China di Malaysia menghulurkan sumbangan. Saya amat gembira apabila CCC-ECRL antara yang pertama tampil untuk membantu dan syarikat dari China di sini juga sudah digerakkan. Banyak bantuan kini dalam perjalanan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kit ujian perubatan sumbangan Kerajaan China juga dalam proses penghantaran ke Malaysia dan dijangka tiba hari ini atau esok.

Tambah beliau, berikutan wabak itu merebak hampir ke seluruh dunia ketika ini, adalah sukar untuk setiap negara mempunyai simpanan bekalan peralatan perubatan yang mencukupi disebabkan penggunaannya yang semakin meningkat daripada kebiasaan.

Bagaimanapun katanya, China tetap komited dengan penyaluran bantuan sewajarnya kepada negara ini bagi membendung penularan Covid-19 kerana tatkala negara berkenaan menghadapi ‘detik hitam’ ketika menghadapi wabak itu sebulan lepas, Kerajaan Malaysia telah menghulurkan pelbagai sokongan dan bantuan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Kerajaan China mempunyai cadangan untuk membawa pakar perubatannya bagi membantu KKM mengekang wabak Covid-19 di sini, beliau berkata pihaknya sedang berusaha ke arah itu memandangkan banyak negara turut memerlukan khidmat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini, pakar perubatan dari China dan Malaysia akan berhubung secara persidangan menerusi video bagi berkongsi pengalaman dalam rawatan jangkitan virus itu.

“Kami telah menjemput pakar kesihatan awam terkemuka di Shanghai untuk berkongsi pengalaman dalam membendung Covid-19 dengan pakar kesihatan awam di Malaysia menerusi persidangan menerusi video. Saya dimaklumkan bahawa 26 hospital akan menyertai sesi ini. Sekiranya ini berhasil, kita akan menganjurkan persidangan menerusi video buat kali kedua,” katanya.