8 kanak-kanak antara maut dalam kebakaran

SAUDARA-MARA dan ahli keluarga mangsa menyaksikan perkhidmatan kecemasan melakukan operasi di tempat kejadian kebakaran maut di Philadelphia, Fairmount, Amerika Syarikat. • Foto AFP

PHILADELPHIA: Jacuita Purifoy kehilangan 10 ahli keluarga apabila kebakaran memusnahkan sebuah rumah tiga tingkat yang telah diubah suai di Philadelphia mengorbankan 13 orang pada Rabu lalu.

“Kakak perempuan saya dan anak saudara saya telah tiada. Mereka tidak akan kembali lagi,” kata lelaki berusia 37 tahun itu di luar sekolah rendah berhampiran tempat keluarga mangsa saling menghiburkan antara satu sama lain.

Pejabat Datuk Bandar Philadelphia berkata, bahawa 12 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran itu.

Dalam kejadian itu, Purifoy kehilangan tujuh saudara yang lebih muda dan yang bongsu berusia setahun.

Tiga daripada saudara perempuan Purifoy juga maut dalam kebakaran di perumahan awam di daerah muzium terkenal di timur Amerika Syarika (AS) di Fairmount.

“Saya terkejut. Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan.

“Mereka sepatutnya meneruskan kehidupan dan mati kerana usia tua, bukan daripada perkara yang boleh dielakkan,” kata Purifoy.

Pegawai berkata, lapan lagi berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi dimasukkan ke hospital, seorang daripadanya adalah anak saudara Purifoy berusia lima tahun.

Di Sekolah Rendah Bache-Martin, satu blok dari lokasi bencana, sebuah trak Salvation Army menghulurkan bekalan kepada saudara mara yang terjejas.

Siasatan

“Ini (kebakaran) antara paling tragis dalam sejarah bandar kita, kehilangan begitu ramai orang dengan cara yang begitu tragis,” kata Datuk Bandar Jim Kenney.

Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Bomba Philadelphia, Craig Murphy berkata, kebakaran itu adalah yang paling teruk pernah dilihatnya dalam tempoh 35 tahun bekerja.

Tambahnya, masih terlalu awal untuk menyatakan punca kebakaran, tetapi pihaknya sedang menyiasat.

“Kami sedang dalam proses menyiasat perkara ini ke tahap tertinggi yang kami boleh. Kami menggabungkan semua sumber kami,” ujarnya.

Katanya, terdapat empat alat pengesan asap di dalam bangunan itu, namun tiada satu yang berfungsi.

Bangunan itu dimiliki Pihak Berkuasa Perumahan Awam (PHA) Philadelphia yang mengatakan pengesan kali terakhir diperiksa pada Mei 2021 dan beroperasi dengan baik pada masa itu.

“Kehilangan nyawa yang tidak dapat dibayangkan ini menggegarkan kami semua di PHA,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kelvin Jeremiah dalam satu kenyataan.

“Pegawai mendapati api besar datang dari tingkat dua rumah tiga tingkat itu apabila mereka tiba pada 6.40 pagi dan mengambil masa hampir sejam untuk mengawalnya, kata Jabatan Bomba.

Jelas Murphy, sekitar 26 orang tinggal di bangunan itu yang mana lapan orang di tingkat satu dan 18 orang di tingkat dua dan tiga.

 Tragedi

Tidak jelas berapa ramai orang berada di dalam bangunan semasa kebakaran.

“Jelas sekali tragedi itu berlaku dan kami semua berduka atasnya. Tetapi, kami tidak boleh membuat penilaian terhadap bilangan orang di dalam rumah itu,” kata Kenney.

Rumah tiga tingkat itu diubah suai menjadi dua pangsapuri, menurut polis yang dipetik dalam Philadelphia Inquirer.

Kawasan perumahan itu terletak hanya beberapa blok berjalan kaki dari Muzium Seni Philadelphia dan Muzium Rodin.

“Ia adalah satu tragedi yang ‘hebat’ di kejiranan kami,” Ruslan Boroviy, seorang paderi di Gereja Katolik Ukraine Saint Nicolas yang terletak berhampiran.

Angka kematian hampir dua kali ganda berbanding kebakaran di Philadelphia pada 2008, apabila tujuh pendatang maut selepas pemanas minyak tanah meletup di kompleks bata tiga tingkat. -AFP