Kerajaan cadang bina empat mahkamah baharu

PENGHARGAAN … Steve Ritikos menyerahkan cenderamata kepada Wan Junaidi.

KUCHING: Kerajaan bercadang untuk membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembinaan mahkamah baharu itu melibatkan kawasan Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

Katanya, cadangan projek mahkamah baharu itu kini sedang dipertimbangkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Cadangan sudah dibuat kepada kerajaan dan dengan adanya Perdana Menteri yang ada sekarang, beliau sangat peka dalam perkara ini.

“Soal tanah, kerajaan boleh bincang dengan kerajaan negeri atau agensi kerajaan lain manakala dari segi peruntukan ia tidaklah begitu banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kuching semalam.

Wan Junaidi berkata, selain itu kerajaan bercadang untuk membina rumah kediaman rasmi untuk Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kuching.

“Kemudahan ini adalah untuk keselesaan dan keselamatan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak tetapi juga untuk menjaga imej kehakiman itu sendiri.

“Ia juga selaras dengan kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Akta Saraan Hakim 1972,” jelasnya.

Mengenai lawatan semalam, Wan Juanidi berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan memperuntukan sebanyak 14 projek untuk menaik taraf, mengubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah-mahkamah negeri Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9.2 juta lebih.

“Projek ini dilaksanakan untuk selaras dengan fokus utama RMK-12 iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO