MDB julang visi Greater Bau For All

SAMBUTAN Ulang Tahun Ke-65 Majlis Daerah Bau (MDB) di Tasik Biru Food Village , baru-baru ini.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah satu agensi terpenting di peringkat daerah yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memajukan sesebuah pekan mahupun bandar dalam satu-satu daerah itu. 

Tugas, tanggungjawab dan bidang kuasa Majlis Daerah dalam sesebuah kawasan pentadbirannya amatlah luas. Banyak yang merangkumi pelbagai keperluan seperti pengurusan dan perkhidmatan antaranya ialah pengurusan kebersihan, peniaga, sisa pepejal, tapak pembuangan sampah, keindahan pekan dan bandar, sistem lalu lintas, penyediaan dan penyelenggaraan lampu jalan, menwujudkan dan menyelenggara kawasan riadah bersih, selamat dan aman serta produk pelancongan setempat. 

Adanya komitmen penuh dan kerjasama di antara Ahli-Ahli Majlis dan pihak pengurusan, matlamat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat dicapai dan direalisasikan.

MAJLIS DAERAH BAU

Majlis Daerah Bau atau nama singkatannya MDB ditubuhkan pada 1956. MDB menyambut Ulang Tahun ke-65 pada 30 Disember 2021. Sejak ‘dilahirkan’ dan dikenali pada 1956 sehingga kini, MDB telah merangkul pelbagai anugerah dan pencapaian lebih-lebih lagi sejak lima tahun kebelakangan ini.

ANUGERAH DAN PENCAPAIAN

Antara anugerah dan pencapaian yang telah diperolehi oleh MDB ialah, Empat Bintang bagi Penarafan Malaysian Government Portals and Website Assesment daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada 2017; Tiga Bintang pada 2017 dan Empat Bintang pada 2019 bagi Penarafan Sistem Bintang PBT Malaysia (Star Rating) daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia dan Anugerah Perak pada 2018 dan Anugerah Platinum pada 2019 untuk Anugerah Smart Community daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

Selain itu, Tempat ketiga Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (Anugerah Pengurusan Pelanggan) daripada Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak pada 2018; Satu Bintang pada 2016 dan Dua Bintang pada 2017 bagi Projek KIK daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan 

berada di kedudukan pertama di antara dua puluh tiga PBT dan MLGH bagi Balance Scorecard pada 2020.

Malah pada 2016, MDB telah mencapai tahap prestasi pengurusan kewangannya dengan memperolehi penarafan 4 Bintang sepertimana yang telah diumumkan pada 31 Julai 2017 oleh Ketua Audit Negara. 

JANJI KERAJAAN

Kerajaan Sarawak akan terus membantu MDB  dalam merealisasikan pelan induk majlis berkenaan untuk membangunkan daerah ini. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Daerah Bau amat memerlukan pembangunan memandangkan kawasan ini berada di antara Kuching dan Lundu. 

“Kerjasama antara kerajaan negeri, MDB dan wakil rakyat di sini dapat menjadikan visi ‘Greater Bau For All’ dapat dicapai dan direalisasikan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-65 Majlis Daerah Bau (MDB) di Tasik Biru Food Village , baru-baru ini. 

Dalam majlis ini, Abang Johari turut meluluskan satu projek ‘Muzium World Park’ yang akan dibangunkan di Bau. 

Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, kerajaan tempatan adalah satu kerajaan akar umbi yang berinteraksi dengan rakyat di bawah kelolaan kerajaan tempatan. 

“Interaksi ini sangat penting dalam kita membuat dasar dan seterusnya memberi kesan positif untuk kita bangunkan sosioekonomi di kawasan tersebut. 

“Kejayaan selama 65 tahun ini amat penting untuk kita lihat ke hadapan apa yang harus kita bangunkan di Daerah Bau,” ujarnya. 

Jelasnya, Kerajaan Sarawak akan membawa perubahan yang lebih drastik di daerah ini dalam tempoh lima tahun akan datang terutama yang melibatkan menaiktaraf infrastruktur, perhubungan jalan raya dan internet. 

“Saya punya dasar 2030. Saya fikir bahawa, kawasan Bau ini nampak hebat dalam industri pelancongan. 

“Justeru, kita mesti bangunkan daerah ini memandangkan ia berada di antara Kuching dan Lundu sekali gus ia adalah ‘tourism belt’. Saya yakin, industri pelancongan akan memberi pendapatan yang lumayan kepada rakyat di sini,” jelasnya. 

BERGANDING BAHU

Sementara itu, menurut Pengerusi MDB, Anielia Siam, beliau akan berganding bahu bersama-sama dengan semua Ahli Majlis dan warga kerja, MDB untuk memikul tanggungjawab bagi melaksanakan fungsi dalam pengawalan kawasan operasi MDB tersebut supaya perkhidmatan majlis ini sentiasa diberi keutamaan mengikut dasar dan peruntukan undang-undang Majlis. 

“Saya percaya dengan adanya komitmen penuh dan kerjasama di antara Ahli-Ahli Majlis dan Pihak Pengurusan MDB, matlamat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan visi ‘Greater Bau For All’ dapat dicapai dan direalisasikan,” katanya. 

Kerjasama MDB dengan jabatan serta agensi lain juga amat penting dalam melaksanakan tugas dan fungsi majlis dengan lebih berkesan selaras dengan pendekatan strategi lautan biru yang dituntut oleh pihak kerajaan.

Semoga dengan kolaborasi ini, dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dan mendatangkan hasil berimpak tinggi yang bukan sahaja memberi impak terhadap prestasi MDB tetapi juga kepada jabatan dan agensi lain.

Oleh NUR AIN OTSMAN