FAMA jamin barangan keperluan termasuk ayam dijual pada harga berpatutan

LAWATAN KERJA… Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (tiga, kiri) dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (lima, kiri) mengadakan lawatan kerja di Projek Program My Rakyat dan Pasar Tani Kekal (PTK) Kampung Gajah, Pasir Salak, semalam. PTK Kampung Gajah menempatkan 91 unit iaitu 14 unit lot basah dan 70 unit lot kering serta tujuh unit medan selera yang menelan kos projek bernilai RM2.6 juta itu akan beroperasi Mac depan. •Foto BERNAMA

PASIR SALAK: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan barangan keperluan dan makanan termasuk bekalan bahan mentah seperti ayam yang dijual di pasar tani di seluruh negara dikenakan harga yang lebih berpatutan supaya tidak membebankan pengguna.

Pengerusinya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, peniaga dan usahawan di bawah FAMA boleh memasarkan terus hasil pertanian mereka di pasar tani tanpa perlu melalui orang tengah sekali gus harga barangan keperluan dan makanan boleh dijual dengan harga yang agak murah berbanding di tempat lain.

Beliau berkata menerusi jualan secara terus dari ladang, peniaga dan usahawan dapat menghapuskan orang tengah yang selama ini mendapat keuntungan sekitar 20 hingga 30 peratus.

“Seperti sedia maklum, dari segi kawalan harga ini di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Kita cuma mengharapkan kalau boleh kita ambil terus dari ladang untuk jual ke pasar tani FAMA. Sebagai contoh bekalan mentah seperti ayam, kita terus beli dari ladang mungkin harga boleh turun kepada RM6 hingga RM7 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Program My Rakyat dan Pasar Tani Kekal (PTK) Kampung Gajah di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Fasiah berkata, PTK Kampung Gajah akan mula beroperasi Mac ini menempatkan 91 unit iaitu 14 unit lot basah dan 70 unit lot kering serta tujuh unit medan selera.

Beliau berkata, PTK itu yang menelan kos projek bernilai RM2.6 juta itu akan beroperasi bermula 7.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

Mohd Fasiah berkata, anggaran penjanaan ekonomi bagi tahun pertama pengoperasian PTK berkenaan adalah sebanyak RM11 juta.

Beliau berkata, 90 peratus peniaga di PTK itu adalah dari daerah Perak Tengah dengan perpindahan keseluruhan peserta dari Pasar Awam Kampung Gajah ke PTK tersebut.

Menurutnya selain Kampung Gajah, terdapat dua lagi PTK di negeri ini iaitu di Manjung dan Lekir yang telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas serta PTK Kuala Kangsar yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023. – Bernama