Ribut Salji: 21 maut terperangkap dalam kenderaan

PELANCONG tempatan berjalan di sepanjang jalan selepas salji lebat di Murree, kira-kira 70 kilometer (45 batu) timur laut ibu negara, Islamabad di Pakistan. •Foto AFP

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 21 maut akibat suhu sejuk apabila puluhan ribu pelawat menyerbu bandar bukit Pakistan untuk melihat salji lebat luar biasa, mencetuskan kesesakan lalu lintas yang teruk, kata pihak berkuasa pada Sabtu lalu.

Polis melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lapan orang maut membeku di dalam kereta mereka, sementara tidak jelas sama ada yang lain mungkin maut akibat sesak nafas selepas terhidu asap ekzos dalam kenderaan bersalji.

Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rashid berkata, pasukan tentera digerakkan untuk membersihkan jalan raya dan menyelamatkan ribuan yang masih terperangkap berhampiran Murree, sekitar 70 kilometer timur laut ibu negara, Islamabad.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kereta penuh dengan timbunan salji setinggi semeter di atas bumbung mereka.

“Salji lebat menyebabkan kesesakan lalu lintas dan penutupan jalan raya,” ujar Babar Khan, seorang pelancong yang terkandas selama berjam-jam memberitahu AFP melalui telefon.

“Jalan raya juga ditutup kerana pokok tumbang di kebanyakan tempat,” ujarnya.

Laman sesawang Pusat Ramalan Cuaca Kebangsaan Pakistan berkata, salji lebat dijangka turun di kawasan itu sehingga semalam, manakala Menteri Penerangan Fawad Chaudhry berkata, rekod cuaca telah dipecahkan dalam tempoh 48 jam yang lalu selepas sedekad.

Selama beberapa hari, media sosial Pakistan penuh dengan gambar dan video orang ramai bermain salji di sekitar Murree, sebuah bandar peranginan yang indah dan dibina oleh British pada abad ke-19.

Pejabat Ketua Menteri Wilayah Punjab berkata, kawasan tersebut telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan menggesa orang ramai menjauhkan diri, manakala Perdana Menteri Imran Khan berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan tragedi itu.

“Salji yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan orang ramai tergesa-gesa meneruskan perjalanan ke lokasi tanpa memeriksa keadaan cuaca menyebabkan pentadbir daerah tidak bersedia.

“Kami mengarahkan siasatan dan meletakkan peraturan untuk memastikan pencegahan tragedi sedemikian,” ujarnya dalam ciapan Twitter.

Amaran lalu lintas

Pihak berkuasa memberi amaran pada hujung minggu lalu bahawa terlalu banyak kenderaan cuba memasuki Murree, tetapi itu gagal menghalang gerombolan pelancong dari ibu negara.

“Ia bukan sahaja pelancong, tetapi penduduk tempatan juga menghadapi masalah yang teruk,” ujar Usman Abbasi, seorang lagi pengunjung yang terkandas.

“Silinder gas telah kehabisan dan air minuman tidak tersedia di kebanyakan kawasan sama ada ia beku atau paip air telah rosak akibat kesejukan yang teruk,” ujarnya.

Jabatan Perhubungan Awam Angkatan Tentera Pakistan berkata, orang ramai yang masih terkandas di Murree akan dipindahkan ke lima kem bantuan tentera.

Operasi menyelamat diteruskan dengan jentera berat bekerja tanpa rehat dan pasukan tentera dipindahkan dan membersihkan lalu lintas bagi membuka jalan.

Pekan itu mempunyai penduduk sekitar 30,000, pada ketinggian 2,300 meter yang terletak pada tepi bukit dan lembah yang curam dan memiliki jalan sempit yang kerap berlaku kesesakan walaupun dalam cuaca baik.

Sheikh Rashid berkata, penduduk turut membantu orang ramai yang terperangkap di bandar itu selain menyediakan selimut dan makanan kepada mereka.

Pihak berkuasa berkata, sekolah dan bangunan kerajaan menerima mereka yang boleh sampai ke bandar dari jalan tersekat.

Sementara itu, Perkhidmatan Kecemasan Pakistan, Rescue 1122 mengeluarkan senarai seramai 21 orang yang telah disahkan meninggal dunia, termasuk seorang anggota polis, isteri dan enam anak mereka.

Jurucakap Kerajaan Punjab Hasaan Khawar berkata, mereka yang meninggal duni adalah disebabkan maut membeku di dalam kereta mereka yang dilitupi salji.

Tambah Rescue 1122, satu lagi keluarga yang terdiri daripada lima orang juga antara yang maut. -AFP