AgriCOP perkasa sektor pertanian

PERUNTUKAN yang cukup besar telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak untuk melaksanakan program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP). 

Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh berkata, program dilaksanakan atas dasar Kerajaan Sarawak untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan golongan keluarga tani.

“Dalam program ini, peserta akan diberikan pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian yang terkini sama ada melalui taklimat, pameran serta demonstrasi pertanian.  

“Objektif Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian menganjurkan program seumpama ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran golongan sasar dalam sektor pertanian,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian AgriCOP di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, baru-baru ini. 

Para peserta AgriCOP kali ini terdiri daripada keluarga tani dan mereka didedahkan dengan latihan memproses Sos Nanas Bercili daripada Seksyen Agromakanan Jabatan Pertanian Bahagian Sarikei.  

Katanya, dengan ini para petani dapat meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil produk pertanian. 

“Ini juga akan membawa kepada peningkatan pendapatan dan sosioekonomi golongan petani.

“Dengan kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jabatan Pertanian Sarawak kerana telah banyak membantu rakyat khususnya golongan petani.  

“Banyak program-program untuk rakyat telah dirancang dan disediakan oleh Jabatan Pertanian,” ujarnya. 

Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang berkata, banyak program-program pertanian seperti Bantuan Tanaman Makanan, Tanaman Komoditi, Perikanan Darat dan Agromakanan telah membantu golongan petani.  

“Kepada yang telah menerima bantuan dan akan menerima bantuan program-program tersebut, saya berharap para penerima projek usahakan dengan bersungguh-sungguh. 

“Pastikan projek yang diberi diusahakan sehingga berjaya dan mendatangkan hasil,” katanya lagi. 

Jelasnya, program latihan membuat Sos Nanas Bercili selama satu hari itu melibatkan seramai 50 orang peserta dalam kalangan penduduk Kampung Seberang, Bukit Kinyau, Selalang, Sare, Kerubong, Kerapa dan Sarikei bertujuan memberi latihan mempelajari teknik serta teknologi, pelbagai informasi untuk meningkat pendapatan mereka.

“Program latihan ini sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan industri pertanian sebagai pemangkin kemajuan ekonomi negara serta rakyat Sarawak berpendapatan tinggi.

“Kita sentiasa berjuang untuk membangunkan komuniti dengan mempergiatkan aktiviti berasaskan pertanian bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

“Semoga semua program tersebut dapat memberi manfaat sekali gus menjana pendapatan komuniti setempat.

Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Rainy Yaman, Temenggong Awang Ibrahim Awang Hosain serta pegawai dan anggota Jabatan Pertanian Daerah Sarikei, Pertubuhan Peladang Kawasan Sarikei dan ketua-ketua masyarakat.  

Dalam pada itu, pada 27 Disember lalu, seramai 14 penerima bantuan peralatan Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) dari kawasan DUN N41 Kuala Rajang menerima bantuan peralatan. 

Ujar Len Talif, program penyerahan bantuan peralatan AFF kali ini merupakan kesinambungan daripada program yang diadakan sebelum ini. 

“Bantuan AFF ini merupakan sumbangan dari Kerajaan Sarawak kepada petani dan nelayan di kawasan N41 Kuala Rajang. 

“Sebenarnya, peruntukan ini ialah peruntukan dari tahun 2019 dan tahun 2020. Oleh kerana kita mematuhi proses tender dan sebagainya, ia mengambil masa dan begitu juga ia telah ditenderkan beberapa kali kerana untuk mematuhi proses-proses yang tertentu,” katanya ketika ditemu bual pemberita selepas menyerahkan bantuan peralatan AFF kepada penerima di program ringkas yang diadakan di Jabatan Pertanian Daerah Sarikei. 

Katanya, kemungkinan untuk tahun-tahun akan datang adalah perlu untuk mencari kaedah lain bagi memastikan pemberian bantuan AFF lebih efisen dan lebih cepat diterima oleh penerima. 

“Oleh sebab itu, saya akan kemukakan cadangan-cadangan tertentu kepada jabatan-jabatan yang berkepentingan untuk memastikan kaedah pemberian bantuan ini akan diubahsuai supaya ramai lagi penerima menikmati kemudahan ini dan juga dapat diagihkan dalam masa yang cepat.

“Walau bagaimanapun, kita ucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) kerana telah memberi peruntukan ini.

“Bagi N41 Kuala Rajang, kita telah menerima bantuan AFF sejumlah RM1.5 juta untuk peruntukan tahun 2019 dan tahun 2020,” ujarnya. 

Beliau juga berharap peruntukan bantuan AFF dapat diteruskan untuk tahun 2022.

“InsyaAllah, untuk tahun 2022, kita memohon supaya peruntukan ini dapat diteruskan kerana kita tahu ramai yang memerlukan bantuan ini,” tambahnya. 

Oleh EARL ANEK