Alibaba perkenalkan evolusi sistem pengkomputeran baharu

KUALA LUMPUR: Dua tahun akan datang akan menyaksikan lonjakan aplikasi berjalan di atas sistem pengkomputeran baharu iaitu teknologi awan, rangkaian dan peranti mempunyai pembahagian kerja yang lebih jelas, menurut Alibaba DAMO Academy (DAMO).

Ini adalah salah satu daripada 10 trend teknologi terkemuka yang akan membentuk industri teknologi dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang berdasarkan analisis yang dilakukan oleh inisiatif penyelidikan global Kumpulan Alibaba.

Dalam satu kenyataan, DAMO berkata, perkembangan pesat teknologi rangkaian baharu akan memacu evolusi pengkomputeran awan ke arah sistem pengkomputeran baharu.

“Penumpuan teknologi awan-rangkaian-peranti ialah pemangkin yang akan memacu kemunculan aplikasi baharu untuk memenuhi tugas yang lebih mencabar seperti simulasi industri berketepatan tinggi, pemeriksaan kualiti industri masa sebenar (real-time) dan realiti bercampur,” katanya.

Ketua DAMO, Jeff Zhang(gambar) berkata, sepanjang abad yang lalu, evolusi teknologi digital telah mempercepatkan kemajuan teknologi dan pembangunan perindustrian.

“Sempadan teknologi diperluaskan daripada dunia fizikal kepada realiti campuran manakala semakin banyak teknologi canggih digunakan dalam aplikasi perindustrian.

“Teknologi digital memainkan peranan penting dalam memperkasakan masa depan yang memelihara alam sekitar dan mampan, sama ada ia digunakan dalam industri seperti pusat data hijau dan pembuatan cekap tenaga atau aktiviti seharian seperti urusan pejabat dijalankan tanpa penggunaan kertas. Dengan teknologi, kami akan mencipta masa depan yang lebih baik,” katanya.

DAMO menganalisis berjuta-juta maklumat dan pemfailan paten sepanjang tiga tahun lalu dan menjalankan temu bual dengan hampir 100 saintis untuk menghasilkan 10 trend teknologi terkemuka, ia turut merangkumi aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas dalam proses penyelidikan sains gunaan serta penggunaan meluas cip fotonik silikon dalam penghantaran data berkelajuan tinggi di pusat data berskala besar.

Aliran lain ialah aplikasi AI untuk mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid kuasa dan untuk perubatan khusus, peningkatan dalam prestasi dan kebolehtafsiran pengiraan memelihara privasi, realiti lanjutan (XR) generasi baharu, sistem persepsi robot pintar untuk menggantikan robot konvensional dalam pembuatan, pengkomputeran bersepadu satelit terestrial dan evolusi bersama model AI berskala besar dan kecil.

Mengenai aplikasi AI dalam industri tenaga, DAMO berkata, ini akan menyumbang kepada operasi grid tenaga yang selamat, cekap dan boleh dipercayai.

Penumpuan AI dan perubatan pula akan meningkatkan integrasi kepakaran dan teknologi diagnostik tambahan baharu dan berfungsi sebagai petunjuk kepada ketepatan bagi perubatan klinikal, katanya.

— Bernama