Kilang beroperasi patuhi SOP

ZARINA ABDULLAH

BAU: Keputusan membenarkan kilang tertentu di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya terus beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan bukan atas arahan Kerajaan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan kilang-kilang di Sama Jaya itu akan terus beroperasi sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa kerana ia sangat penting untuk ekonomi.

“Ia sama seperti dasar kilang dan ladang kelapa sawit, namun MITI menetapkan beberapa syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang mesti dipatuhi oleh kilang-kilang yang beroperasi dalam tempoh PKP ini.

“Jadi adalah tidak adil untuk menyalahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana kilang-kilang di Sama Jaya ini masih beroperasi walaupun PKP sedang dikuatkuasa.

“Ini kerana ia adalah dasar negara dan kilang-kilang yang beroperasi ini sangat penting,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan ke kilang pemprosesan sawit di Bau, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian mengulas dakwaan beberapa pihak yang mempersoalkan beberapa kilang di Sama Jaya masih beroperasi dalam tempoh PKP serta memohon supaya Kerajaan Negeri menghentikan operasi mereka.

“Pagi ini, satu pasukan diarahkan untuk memeriksa kilang-kilang mengenai pematuhan mereka dan sebagainya.

“Kita dapat melihat dengan jelas bagaimana mereka menguruskan kakitangan serta mematuhi syarat yang ditetapkan oleh MITI,” jelasnya.

Uggah turut berkata pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa tahap pematuhan PKP di seluruh Sarawak adalah sangat baik iaitu lebih 95 peratus dan berharap keadaan itu berterusan. 

“Ini bermakna rakyat Sarawak juga sangat berhati-hati dan ia sangat penting kerana ini bukan hanya untuk sesiapa sahaja, tetapi untuk diri sendiri dan keluarga.

“Jadi tinggal di rumah untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga daripada dijangkiti Covid-19,” tegasnya.