Menyantuni golongan semasa PKP

PETUGAS TBS dan HIKMAH Cawangan Miri bersama pek-pek Bantuan Kecemasan COVID-19.

Sofie Sofian

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlanjutan sedikit sebanyak telah memberi impak ke atas pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Peningkatan jumlah kes baharu dan kematian di Malaysia akibat COVID-19 membuatkan pihak kerajaan untuk memanjangkan tempoh PKP sehingga pandemik tersebut dapat dikawal.

Kegusaran dan kebimbangan adalah reaksi umum apabila PKP dilaksanakan lebih daripada sebulan terutamanya dalam kalangan asnaf serta mereka yang hilang sumber pendapatan dan serba kekurangan.

Meskipun pihak kerajaan dan wakil rakyat setempat turut menghulurkan bantuan berbentuk kewangan dan keperluan asas harian, ia masih belum memadai memandangkan tempoh PKP yang berpanjangan.

Di saat getir sebegini muncul sebilangan individu dan organisasi yang mengambil inisiatif membantu mereka yang memerlukan di Bandaraya Miri dan kawasan sekitarnya. Antara mereka yang aktif menjejaki dan membantu golongan asnaf adalah Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri dan HIKMAH Cawangan Miri.

Menurut salah seorang sukarelawan projek Jalinan Kerjasama Agihan Bantuan Kecemasan COVID-19 Raihan binti Usop, 45, bantuan ini bertujuan untuk meringankan bebanan masyarakat Islam khususnya para asnaf dan mereka yang terkesan semasa tempoh PKP ini.

“Mereka akan dibantu sama ada dalam bentuk bantuan bahan makanan ataupunbBantuan wang keperluan runcit,” ujar beliau, “golongan asnaf diutamakan seperti mualaf, fakir miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) serta masyarakat Islam yang benar-benar terjejas pendapatannya disebabkan oleh wabak ini.”

Raihan yang merupakan seorang peguan sivil dan syarie, telah mula menyertai projek tersebut sejak bermulanya PKP bersama suami beliau Jemain bin Kassim. Mereka berdua merupakan Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH Sarawak dan mereka bekerjasama dengan empat orang sukarelawan HIKMAH Cawangan Miri bagi menjayakan projek berkenaan.

“Setakat 20 April 2020, kami telah menjangkau kepada 980 orang penerima bantuan di Miri dan kawasan sekitarnya termasuk Bekenu, Niah, Marudi, Long Lama dan Kg. Melayu Bakong,” ujar beliau lagi, “projek ini juga dijalankan di bahagian-bahagian lain seluruh Sarawak.”

Menurut ibu kepada dua orang anak remaja itu lagi, Bantuan Kecemasan Covid-19 Baitulmal tersebut boleh dipohon melalui Aplikasi Darurat Tabung Baitulmal Sarawak. Selain itu, mereka turut menghulurkan bantuan serupa kepada golongan memerlukan yang telah dikenalpasti oleh wakil-wakil HIKMAH yang dilantik.

Tabung Baitulmal Sarawak turut menyeru individu atau syarikat yang ingin membantu dalam projek ini, mereka boleh menyalurkan bantuan tersebut ke Tabung Baitulmal Sarawak melalui portal BaitulmalKAMEK di https://pelanggan.tbs.org.my/

“Ini bukan masa untuk menuding jari, sekarang masa untuk bersatu dan saling membantu dan sayang menyayangi,” kata Raihan yang juga merupakan seorang penceramah bebas mengakhiri perbualan, “setiap orang ada peranan dan setiap peranan akan membantu memutuskan rangkaian jangkitan Covid19. Semoga kita semua akan ditemukan semula dalam suasana yang lebih harmoni dan selamat.”