Orang luar tidak dibenar masuk

BINTANGOR: Penduduk Rumah Giman Jabu di Skim B Meradong mengambil inisiatif mendirikan papan tanda melarang orang luar masuk ke kawasan rumah panjang mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

TR Giman berkata, inisiatif tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua penduduk pada mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit.

“Ini adalah sebagai usaha kita untuk menyekat sementara kemasukan orang luar atau penduduk rumah panjang lain sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya menerusi aplikasi whatsapp semalam.

Selain itu katanya, mereka juga menyekat sementara kemasukan penduduk rumah panjang yang bekerja dan tinggal di bandar untuk pulang.

“Begitu juga penduduk yang tinggal di rumah panjang tidak perlu pulang ke bandar sepanjang tempoh PKP ini. Dalam erti kata lainnya, mereka harus tinggal di mana mereka sedang berada.

“Kita harus memandang serius perkara ini bagi mengekang penularan wabak virus berbahaya covid-19,” ujarnya.

Mereka mendirikan papan tanda larangan tersebut di hadapan simpang masuk ke rumah panjang.

Terdahulu, semua penduduk (penganut agama Kristian) Rumah Giman mengadakan sembahyang dan upacara ‘Ngampun’ bagi mereka yang mengamalkan upacara tradisional Iban memohon perlindungan daripada wabak berbahaya tersebut.