Seoul sunyi angkara kluster kelab malam

PIHAK berkuasa mengarahkan operasi kelab dan bar dihentikan berikutan jangkitan kluster
koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan baru-baru ini, lapor agensi berita Yonhap.• Foto BERNAMA

SEOUL: Jalan-jalan di Itaewon di Seoul sunyi sepi pada Sabtu malam berikutan langkah pihak berkuasa mengarahkan operasi kelab dan bar dihentikan berikutan jangkitan kluster koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan baru-baru ini, lapor agensi berita Yonhap.

Langkah pencegahan itu diambil selepas puluhan jangkitan dilaporkan apabila seorang yang berusia 29 tahun disahkan positif Covid-19 selepas mengunjungi lima kelab dan bar di Itaewon pada hujung minggu lalu.

“Nampaknya bandar ini berubah menjadi sunyi sepi,” kata seorang pemilik restoran di Itaewon.

“Biasanya waktu ini merupakan masa yang paling sibuk. Sekarang, tidak ada seorang pelanggan yang kelihatan.”Kelab-kelab hiburan di daerah Gangnam juga ditutup.

Bar yang dikategorikan sebagai restoran umum di Gangnam, masih dibuka dan dipenuhi pengunjung, mencetuskan kebimbangan penularan yang lebih meluas.

Perintah pentadbiran itu yang kedua dikeluarkan Seoul sejak jangkitan kluster berlaku dalam kalangan pengunjung dan pekerja di sebuah bar di Gangnam bulan lalu.

Korea Selatan melaporkan 34 lagi kes baharu Covid-19 pada Ahad, lonjakan terbesar dalam tempoh sehari sejak 9 April, disebabkan jangkitan kluster terbaru itu.

Ia menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di Korea Selatan setakat ini sebanyak 10,874.-Bernama