Taufik Hidayat perantara kes rasuah

Taufik ditemui media di luar mahkamah. • Foto AFP

JAKARTA: Juara dunia badminton tahun 2005 Indonesia, Taufik Hidayat mengaku menjadi perantara dalam kes rasuah membabitkan bekas Menteri Sukan dan Belia negara itu, Imam Nahrawi yang pernah berkhidmat dari 2014 hingga 2019.

Memetik laporan AFP, bintang badminton yang pernah meraih pingat emas pada Olimpik 2004 di Athens itu membuat pengakuan berkenaan ketika memberikan keterangan di mahkamah di sini pada Rabu.

Dalam keterangannya, beliau yang juga merangkul kejuaraan terbuka Indonesia sebanyak enam kali turut mengaku membantu menyampaikan Rp1bilion (RM290,000) kepada pembantu peribadi menteri itu, Miftahul Ulum pada Januari 2018.

“Saya diminta untuk membantu menerusi panggilan telefon. Saya setuju, namun saya tidak memberitahu kepada Pak Imam bahawa saya sudah memberi wang tersebut kepada Ulum,” kata Taufik di mahkamah.

Imam dituduh oleh Pendakwa Raya Pesuruhjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia atas kesalahan menerima wang rasuah bernilai Rp11.5 bilion (RM3 juta) serta pemberian dalam bentuk lain bernilai Rp8.6 bilion (RM2.5 juta) daripada pegawai pelbagai kementerian dan Majlis Sukan Indonesia (KONI).

Menurut dakwaan KPK, wang rasuah tersebut adalah daripada Tommy Suhartanto iaitu Pengarah Perancangan dan Bajet Satlak Prima, sebuah program sukan atlet elit yang dibubarkan pada 2018.

Tommy didakwa meminta seorang pegawai Satlak Prima, Edward Taufan Pandjaitan untuk menyediakan wang tersebut.

Edward kemudian memberi wang tersebut kepada Pembantu Pengarah Kewangan Satlak Prima, Reiki Mamesah yang kemudiannya memberi wang itu kepada Taufik yang merangkul jawatan Timbalan Pengerusi program itu pada 2016 hingga 2017.

Wang yang diserahkan kepada Miftahul di rumah Taufik di Jakarta Selatan itu dipercayai bagi mempercepatkan proses kelulusan dan pengeluaran wang peruntukan dari kementerian terbabit.