Wabak kembali ke Wuhan?

ORANG ramai dilihat memakai penutup mulut dan hidung di stesen bas, Daerah Hubei, Wuhan. • Foto AFP

BEIJING: Sebulan selepas berjaya membendung penularan wabak Covid-19, China pada Isnin melaporkan kluster baharu jangkitan di pusat pandemik, Wuhan dengan beberapa bandar di bahagian Timur Laut dikenakan perintah berkurung.

Kes berkenaan menambah kebimbangan bahawa China mungkin menghadapi gelombang jangkitan baharu, lebih-lebih lagi sekatan terus dilonggarkan di beberapa bahagian lain di negara itu.

Lima jangkitan baharu disahkan di daerah kediaman di Wuhan yang berasal daripada lokasi perintah berkurung empat minggu lalu, selepas jumlah kes jangkitan dilaporkan menurun.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan arahan supaya orang ramai tinggal di rumah dan larangan perjalanan di Shulan, iaitu bandar dengan sekitar 670,000 penduduk di timur laut China, selepas tiga jangkitan baharu disahkan di kawasan terbabit.

Jangkitan kes pertama kali muncul akhir tahun lalu yang melanda Wuhan dan sekitar wilayah Hubei yang mengorbankan ribuan orang dan ramai yang jatuh sakit.

Pihak berkuasa di Wuhan mengenakan sekatan perjalanan dan pergerakan, di mana langkah itu dilihat usaha yang berjaya untuk membendung wabak berkenaan.

Perintah berkurung dilonggarkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana para pegawai berkata penyakit itu berjaya terkawal, di mana perjalanan keluar masuk bandar turut dibenarkan.

Bagaimanapun dua hari lalu, pihak berkuasa mengakui seorang disahkan positif jangkitan Covid-19 di Wuhan, diikuti dengan lima lagi pada semalam.

Pihak berkuasa tempatan berkata, semua kes baharu berasal daripada kawasan kediaman yang sama, kebanyakannya membabitkan orang tua, manakala seorang pegawai dari daerah terbabit dilaporkan dipecat berikutan usaha mengekang penyebaran virus yang tidak mencukupi.

Terdapat 11 kes jangkitan baharu tidak bergejala yang dilaporkan di wilayah Hubei.

China merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang menunjukkan tanda bergejala dan tidak bergejala.

Di tengah-tengah amaran keras dikeluarkan terhadap bahaya gelombang baharu selepas beberapa minggu kes menurun, jangkitan kes tempatan pula menular di Shulan.

Menurut stesen televisyen CCTV, operasi pengangkutan awam dan teksi serta kereta api yang meninggalkan bandar itu digantung dengan Daerah Jilin meningkatkan amaran kecemasan ke tahap tertinggi. – AFP