Pilihan raya NZ September ini

Perdana Menteri New Zealand,Jacinda Ardern. • Foto AFP

WELLINGTON: Suruhanjaya Pilihan Raya New Zealand semalam mengumumkan langkah keselamatan yang akan dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya di negara itu, pada September depan diteruskan walaupun berdepan ancaman Covid-19.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada Januari lalu mengumumkan tarikh pilihan raya pada 19 September depan, iaitu sebelum wabak Covid-19 menular secara serius.

Beliau turut berulang kali menegaskan setakat ini tidak ada sebarang perancangan untuk meminda daripada tarikh berkenaan.

Memandangkan tempoh perintah berkurung di New Zealand yang berlanjutan sejak tujuh minggu lalu akan berakhir dalam tempoh beberapa hari lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa kesihatan supaya proses pengundian dapat dilakukan secara selamat.

Ketua Pegawai Pilihan Rayanya, Alicia Wright berkata, pilihan raya tahun ini akan menjadi berbeza disebabkan Covid-19.

Justeru, beberapa langkah akan dilaksanakan bagi memastikan semua orang berada dalam keadaan selamat.

“Langkah ini termasuk memastikan pengurusan barisan, penjarakan sosial, penggunaan cecair pembasmi kuman yang diletakkan di kotak pengundian dan alat perlindungan diri bagi petugas pilihan raya di setiap stesen,” katanya.

Selain itu, fasa pengundian awal atau undi pos antara yang digalakkan dalam waktu kritikal ini, khususnya bagi warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Bagaimanapun, panduan keselamatan ini tidak tertakluk kepada aktiviti lain sepanjang pilihan raya termasuk perasmian kempen, perhimpunan parti atau pertemuan dari pintu ke pintu yang dijangka akan terjejas teruk akibat wabak pandemik ini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berusia 39 tahun itu turut menerima pujian dunia kerana mengambil langkah segera bagi menyekat penularan Covid-19 di negara itu.

Setakat ini, negara dengan populasi seramai lima juta orang itu cuma merekodkan 21 kematian akibat Covid-19. –AFP