Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • SEMASA
  • TEMPATAN
  • PRU-15
  • KATEGORI
    • SEMASA
    • PRU-15
    • TEMPATAN
    • RENCANA
    • ADVERTORIAL
    • WILAYAH
    • NASIONAL
    • STAIL
    • WBS
    • BISNES
    • SADA IBAN
    • GLOBAL
    • SUKAN
    • JENAYAH & MAHKAMAH
    • KEMALANGAN & KEBAKARAN
  • GALERI
    • SEKITAR HARI MENGUNDI PRU-15
    • Sekitar Hari Penamaan Calon PRU-15
    • CALON GPS
  • Home
  • Pencerahan awal undang-undang lompat parti
  • WACANA PENGARANG

Pencerahan awal undang-undang lompat parti

Utusan Sarawak 10 months ago

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang ahli Parlimen melompat parti berdasarkan draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Pencerahan Awal Undang-Undang Lompat Parti

RANG Undang-undang Lompat Parti masih lagi dalam proses perbincangan. Difahamkan sebelum ini, terdapat 30 persoalan mengenai definisi dan konsep lompat parti pernah dikemukakan oleh pejabat Peguam Negara untuk diberikan perspektif  oleh pasukan Menteri Undang-undang dan jawatankuasa pilihan khas yang ditugaskan untuk mereka membentukkan undang-undang tersebut. Ia lebih kepada perspektif undang-undang yang perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan dan ketidakadilan apabila undang-undang tersebut dikuatkuasakan nanti. Perkara ini agak rumit hingga menyebabkan beberapa kali cadangan pembentangan ini tertunda hingga menyebabkan beberapa keresahan  beberapa parti  politik yang menjadi mangsa kepada tindakan lompat parti ini.

Tiga Konsep Definisi Awal

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang ahli Parlimen melompat parti berdasarkan draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Yang pertama apabila mana-mana ahli Parlimen yang telah menang dalam mana-mana pilihan raya dan kemudian bertindak mengumumkan keluar parti politik, seterusnya melahirkan hasrat untuk menjadi ahli  parlimen bebas atau  mahu menyertai parti politik lain  dianggap sebagai melompat parti.

Yang kedua apabila seorang ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dianggap sebagai melompat parti. Hal ini bertujuan untuk memastikan ahli Parlimen sentiasa patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti. Maka ini akan membawa pilihan raya kecil  akan diadakan semula.

Yang ketiga, perlakuan lompat parti juga boleh dianggap berlaku apabila seseorang yang memenangi pilihan raya melalui tiket atau calon bebas, akan tetapi selepas itu membuat keputusan untuk memasuki mana-mana parti selepas kemenangan diperoleh.

Tindakan-tindakan tersebut adalah bertentangan dengan konsep asal atau mandat yang diberikan oleh pengundi ketika pilihan raya kerana pengundi membuat keputusan untuk memilih calon yang menang tersebut adalah berdasarkan kapasiti atau kedudukan calon ketika itu. Apabila sudah berganjak dan berubah status kemenangan, maka dianggap bercanggah  dengan kemahuan sebenar rakyat  yang memilih ketika pilihan raya.  Misalnya, ketika pilihan raya umum 2002, penyokong UMNO mengundi calon yang bertanding atas tiket UMNO. Watikah pula dikeluarkan oleh Pengerusi Barisan Nasional  atau Presiden Parti. Biaya kempen politik  dan jentera bergerak juga menggunakan  jentera parti UMNO.  Sudah tentu, tindakan mengumumkan keluar parti dan menyertai parti lain selain UMNO adalah dianggap sebagai pengkhianatan parti. Sudah pasti, jika indivitu itu bertanding  menggunakan tiket calon bebas atau tiket parti lain akan kalah, sebab lawan mereka menggunakan tiket lain kalah.

Selain itu, terdapat persetujuan dalam draf cadangan tersebut bahawa  apabila lompat parti berlaku maka pilihan raya semula perlu diadakan semula. Namun begitu calon yang melompat tersebut boleh bertanding semula dan langkah ini dianggap mampu memberikan keadilan atau memberikan  peluang kepada calon untuk bertanding dalam mana-mana tiket parti lain atau bebas. Lazimnya calon seumpama ini sukar untuk menang kembali. Kadar untuk menang kembali pada tahap yang rendah walaupun tidak mustahil boleh menang.  Apapun, dengan kata lain, memberikan peluang kepada individu yang melompat ini bertanding semula ini adalah untuk tidak menafikan hak untuk bersuara dan bertanding agar keadilan diberikan kepada semua pihak. Sejajar dengan itu, draf undang-undang tersebut mencadangkan  pilihan raya dalam tempoh 60 hari individu itu dipecat sebagai ahli parlimen dan ini akan diumumkan oleh Dewan Rakyat dan tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan. Kesemua ini dilakukan sebagai mengembalikan mandat kepada rakyat semula dan memberikan keadilan kepada rakyat untuk menentukan, membuat keputusan dan memilih semula.

Pengecualian

Namun begitu draf rang undang-undang tersebut juga mencadangkan agar diberikan tiga pengecualian dan bebas daripada dikategorikan sebagai lompat parti. Yang pertama apabila sesebuah parti politik terbubar maka dengan sendirinya ahli Parlimen tidak boleh dianggap sebagai lompat parti. Bermakna ahli parlimen boleh menjadi bebas atau memilih mana-mana parti yang mahu disertai.

Yang kedua, apabila berlakunya penggabungan antara parti dengan parti lain, maka ia menjadi hak parti untuk bergabung. Misalnya, sekiranya berlaku satu gabungan yang besar, satu parti hendaklah keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti. Hal ini kerana gabungan parti melibatkan semua ahli parlimen sesebuah parti dan bukannya tindakan seorang individu atau kelompok tertentu sahaja.

Yang ketiga ialah apabila seseorang ahli Parlimen dilantik memegang  jawatan menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara yang menjadi formaliti di parlimen, maka keahlian parlimen seseorang itu tidak akan terjejas dalam parti yang diwakili dan tidak  termasuk dalam kategori melompat parti.

Walaupun pemilihan senator lazimnya daripada kuota parti politik, namun rang undang-undang yang digubal ini hanya tertakluk kepada wakil rakyat sahaja dan tidak melibatkan  ahli dewan negara atau senator. Hal ini kerana berpegang kepada prinsip bahawa hanya ahli dewan rakyat  atau parlimen  yang mendapat mandat  dan dipilih langsung oleh rakyat.

Persoalan semakin kompleks

Baru-baru ini  terdapat pendedahan masih terdapat banyak persoalan perlu dijawap untuk memastikan rang undang-undang tersebut menjadi lebih terperinci. Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya, telah memberikan maklum balas kepada tujuh persoalan utama dalam isu lompat parti.  Antaranya ialah sama ada pindaan ini harus mengehadkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sahaja atau perlu dimasukkan dalam penggubalan akta tertentu. Persoalan ini amat rumit memerlukan  pakar-pakar bidang, aktivis, dan ahli politik meneliti agar tidak terperangkap dan memastikan keadilan kepada semua pihak. 

Begitu juga persoalan mengenai ahli parlimen yang menggunakan lambang parti lain semasa pilihan raya sama ada dikehendaki menjadi ahli parti itu atau sebaliknya. Begitu juga persoalan sama ada terdapat keperluan membuat peruntukan undang-undang  untuk menyekat lompat parti turut dikenakan ke atas ahli Dewan Undangan Negeri juga berbangkit bagi memastikan keselarasan undang-undang atau tidak bercanggah di antara undang-undang di peringkat negeri dan persekutuan.

Dengan kata lain, rang undang-undang lompat parti perlu  memenuhi semua kriteria dan keperluan semasa. Pengabaian atau terlepas pandang aspek-aspek tertentu boleh mencacatkan rang undang-undang tersebut. Bagaimanapun, untuk bergerak ke depan, maka  definisi dan konsep asas lompat parti serta isu lompat parti yang berbangkit sekarang perlu diberikan tindakan dan langkah segera agar amalan lompat parti dan mengkhianati amanat rakyat tidak mewabak manakala perkara-perkara belum lagi berlaku, boleh dipertimbangkan pada pindaan-pindaan pada masa akan datang. Yang penting rang undang-undang ini perlu dipercepatkan bagi memastikan amalan politik katak dibanteras segera!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)

About Post Author

Utusan Sarawak

See author's posts

Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Pembangunan Institusi Islam Sarawak
Next: Pan Borneo, MA63 & bajet tahunan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.