Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • SEMASA
  • TEMPATAN
  • PRU-15
  • KATEGORI
    • SEMASA
    • PRU-15
    • TEMPATAN
    • RENCANA
    • ADVERTORIAL
    • WILAYAH
    • NASIONAL
    • STAIL
    • WBS
    • BISNES
    • SADA IBAN
    • GLOBAL
    • SUKAN
    • JENAYAH & MAHKAMAH
    • KEMALANGAN & KEBAKARAN
  • GALERI
    • SEKITAR HARI MENGUNDI PRU-15
    • Sekitar Hari Penamaan Calon PRU-15
    • CALON GPS
  • Home
  • Kuasa tawar-menawar politik
  • WACANA PENGARANG

Kuasa tawar-menawar politik

Utusan Sarawak 8 months ago

Suasana politik Putrajaya agak bergelora sejak Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan. Ketika krisis penolakan terhadap Tan Sri Muhiyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, difahamkan  jumlah sokongan PN ketika itu hanya 103 Ahli Parlimen.

Hal ini kerana ketika 31 daripada 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terus menyokong PN, akan tetapi terdapat 11 Ahli Parlimen tidak menyokong kepemimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, sedangkan sekiranya berhasrat membentuk kerajaan, perlu ada 112 kerusi parlimen sekurang-kurangnya.  

Drama politik terus berlangsung apabila Muhiyiddin menawarkan sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) apabila menawarkan tujuh bentuk kerjasama rentas parti kepada PH sekiranya kerajaan dipimpinnya terselamat  dan memperoleh undi percaya.  

Namun tindakan ini mendapat kritikan daripada pihak ramai dan PH sendiri.  Pihak pembangkang menganggap tindakan tersebut bersifat sogokan secara terbuka. Ada juga menegaskan bahawa kedudukan pemimpin tersebut sudah hilang majoriti dan baikan telur di hujung tanduk.  

PH secara sebulat suara menganggap segala tawaran tersebut bersifat tidak ikhlas dan sepatutnya tawaran itu dibuat lebih awal, bukannya pada penghujung hayat politik ketika kehilangan sokongan daripada sekutu politiknya sendiri.

Ketika itu krisis pandemik Covid-19 begitu membimbangkan dan rakyat perlu diselamatkan dan bukannya kerjaya politik demikian antara reaksi terhadap tawaran tersebut. Ini kali pertama Perdana Menteri mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meminta sokongan pembangkang dan ini menurut Timbalan Presidan Warisan Darell Leiking  sebagai ‘kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia.’

Namun dalam politik ahli politik sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk mempertahankan kuasanya sehingga saat-saat akhir.

Pertukaran kepemimpinan

Krisis tersebut berakhir apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik menjadi Perdana Menteri baharu. Kali ini tawar menawar politik dilakukan sebaik sahaja angkat sumpah sebagai Perdana Menteri  dan bukannya ketika hayat politik hampir berakhir.  

Tawar menawar politik ini diterjemah dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik PH dan PN. Antara lain ialah persetujuan menyegerakan undang-undang lompat parti, sokongan terhadap  belanjawan negara, tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022, peruntukan sama rata di antara kerajaan dengan pembangkang dan pelbagai lagi.

Persefahaman ini secara umumnya mampu memberikan fokus kepada kerajaan bagi menangani isu-isu ekonomi dan memulihkan semula pembangunan selepas krisis kesihatan terbesar dunia. Tawar-menawar di antara pembangkang khususnya PH dan PN tidak lagi menjadi isu besar.

Yang ada cumalah gesaan dan desakan untuk membuat pembaharuan seperti desakan agar mempercepatkan undang-undang anti lompat agar membawa kestabilan politik.

Tawar-menawar dalaman blok parti

Apabila selesai memuktamadkan persefahaman di antara PH dan PN, kini cabaran terbesar PN ialah menangani tawar-menawar dalaman yang berlaku sesama sekutu mereka dalam Perikatan Nasional.  

Tawar-menawar dalaman merupakan tonggak kepada kestabilan Perikatan Nasional. Misalnya, mengekalkan jawatan menteri kanan kalangan parti-parti sekutu dianggap mampu memberikan kepuasan kepada parti masing-masing.

Namun pergolakan politik semasa membawa kepada ketidakpuasan parti-parti sekutu. Misalnya, apabila Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin keluar dari Parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), sudah tentu ini menimbulkan ketidakpuasan hati parti Bersatu.  

Pengerusi Bersatu menyuarakan bahawa jawatan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi i perlu diganti kerana ia adalah kuota parti itu. Maka, jawatan tersebut perlu dikosongkan dan digantikan dengan  calon dari parti Bersatu.

Tuntutan jawatan dikembalikan

Pada masa sama, Perdana Menteri setakat ini masih tidak membuat apa-apa komen dan tindakan. Zuraida masih lagi kekal sebagai Menteri dan menjalankan tugas seperti biasa.

Dari satu segi, Perdana Menteri bimbang jika Zuraida digantikan maka Zuraida dan beberapa Ahli Parlimen sekutu mereka akan keluar daripada Perikatan Nasional. Lebih-lebih lagi persefahaman Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional akan berakhir pada penghujung Julai ini.

Daripada satu sisi pula, sudah tentu sekiranya Perdana Menteri masih tidak membuat tindakan dengan menggantikan Zuraida maka tindak balas dari Parti Bersatu akan  terhasil. Parti Bersatu dianggarkan mempunyai 30 Ahli Parlimen dan ini memberikan pengaruh  besar kepada politik PN sekiranya mereka bertindak balas.

Malah Muhiyiddin pernah menegaskan bahawa bila-bila masa, parti tersebut boleh ‘menekan suis’ dan menumbangkan kerajaan sedia ada. Ugutan politik ini tentulah menggusarkan Perdana Menteri dan beliau berasa perlu menyelamatkan kerajaan yang dipimpinnya itu agar terus kekal dan berkuasa.  

Apabila gesaan Bersatu untuk menggantikan Zuraida tidak mendapat respon positif daripada Perdana Menteri, maka pada pertemuan bersama Perdana Menteri, tuntutan lebih besar dikemukakan.

Tuntutan tersebut ialah pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul turut dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri. Ia dikatakan termaktub dalam perjanjian antara PN dan perdana Menteri.  

Hal ini bermakna Perdana Menteri berdepan dengan satu lagi desakan oleh parti sekutunya sendiri.  Kewujudan perjanjian tersebut tidak banyak diketahui ramai termasuk dari pihak parti UMNO sendiri.  

Yang pasti, perjanjian tersebut dibuat ketika Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri yang ketika itu dilakukan ketika mahu mengukuhkan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan memastikan parti sekutu yang menyokong mendapat ganjaran politik yang sewajarnya.

Cabaran di hadapan

Namun ini tidak mudah dilaksanakan kerana ketika ini keadaan ekonomi negara dan isu rakyat semakin genting dan perlu diutamakan, bukannya jawatan politik.  

Yang lebih getir apabila kepemimpinan UMNO dan parti UMNO sendiri  tidak mengetahui mengenai kewujudan perjanjian tersebut. Hal ini boleh menyebabkan kemarahan dari parti beliau sendiri ketika keputusan parti UMNO untuk menggesa diadakan pilihan raya umum disegerakan bagi memastikan momentum kemenangan BN masih berpeluang untuk memenangi pilihan raya ini selagi tidak dilewatkan.

Hal ini kerana pembangkang masih dilihat gagal untuk bekerjasama sesama mereka dan belum mampu membentuk pakatan pembangkang yang lebih kuat sekurang-kurangnya mengelak pertembungan kerusi yang dipertandingkan.

Ternyata tawar-menawar politik merupakan satu strategi untuk mengukuhkan kekuasaan dan kestabilan politik sebagaimana terdapat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik PH dan PN yang dilakukan secara telus, tidak berorientasikan kepentingan politik peribadi dan memberikan impak kepada fokus untuj kesejahteraan rakyat dan bukannya peribadi.

Namun apabila tawar-menawar politik itu tidak realistik dan tidak  diketahui oleh parti sendiri, maka ia boleh memudaratkan kedudukan politik mereka yang memeteraikan perjanjian tersebut.

Hal ini dirumitkan lagi dengan hakikat kedudukan Pengerusi PN, Perdana Menteri dan presiden parti bukanlah orang yang sama.  Sebab itu, terdapat gesaan untuk mempercepat pilihan raya umum bagi memastikan kestabilan politik dapat dibentuk.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)

About Post Author

Utusan Sarawak

See author's posts

Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Ke arah penyerahan Sarawak
Next: MA63 bukan untuk tawar-menawar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.