‘Manuk Pansuh’ hidangan turun temurun

SEDAP… Manuk pansuh yang telah masak enak dimakan dengan nasi panas.

ADUM LIU

MASYARAKAT Iban rumah panjang Sarawak terkenal dengan makanan hidangan lauk yang unik tidak akan mudah pupus ditelan zaman.

Disebut sahaja `Manuk Pansuh` (Bahasa Iban) di Sarawak pasti ramai yang tahu, manuk pansuh ialah bermaksud ayam yang dimasak dalam buluh.

Hidangan manuk pansuh ini adalah begitu terkenal di semua lapisan masyarakat, namun hidangan ini asalnya merupakan salah satu makanan tradisi orang Iban.

Biasanya untuk menghasilkan hidangan ini, ayam tua akan dijadikan sebagai pansuh kerana dikatakan lebih enak. 

Bagi mereka yang tidak pernah dan pertama kali untuk cuba membuat pansuh ini, maka ayam kampung adalah paling sesuai dijadikan bahan. Dikatakan bahawa rasa ayam kampung ini lebih enak, apatah lagi jika digabungkan dengan bahan-bahannya seperti serai, halia, garam dan pucuk ubi kayu.

Menurut pakar ayam pansuh, penyediaan bahannya tidak memerlukan bahan perasa lain kerana buluh itu sendiri mengeluarkan aroma enak yang tersendiri.

Setelah bahan-bahan disumbat ke dalam buluh, bahagian atasnya akan ditutup rapi dengan daun ubi kayu.

Secara tradisi, pansuh ini akan dibakar dengan bara api seperti membakar lemang. Kawalan haba juga perlu bagi memastikan buluh tidak terbakar.

Tempoh masa memasak pansuh ini bergantung kepada keadaan apinya tetapi cara menentukan bahan-bahan di dalam buluh sudah masak adalah selepas bahagian atasnya menggelegak dan mengeluarkan aroma harum.

Hidangan tradisi ini sering dijadikan menu utama pada majlis keramaian masyarakat ini di rumah-rumah panjang, terutama semasa sambutan Hari Gawai.

Mereka yang pernah mencuba pansuh yang dimasak secara tradisional ini pasti akan jatuh cinta dengan keenakannya.

Namun ada segelintir generasi hari ini sudah ‘memodenkan’ pembuatan pansuh ini dengan tidak lagi menggunakan buluh, sebaliknya hanya menggunakan periuk nasi elektrik.  Malah ada juga yang sudah mencipta teknik pembakaran moden tanpa menggunakan bara api.

Walau apapun caranya, pembuatan pansuh masih diteruskan sehingga sekarang.