Trend jangkitan Covid-19 stabil

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Trend jangkitan positif wabak Covid-19 di Sarawak stabil sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemungkinan besar dapat dibendung jika rakyat terus mematuhi arahan untuk kekal di rumah sehingga 14 April ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac hingga semalam, jumlah kes positif di negeri adalah stabil.

“Jika rakyat negeri terus mematuhi PKP, saya percaya Sarawak akan dapat meneruskan trend positif ini dapat mengurangkan kes atau mencapai sifar kes dalam masa 16 ke 17 hari lagi.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada semua rakyat Sarawak untuk terus mematuhi PKP dan tinggal di rumah kerana ini pasti akan membantu kita mengurangkan kesan Covid-19 kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Abang Johari menambah, pada mula PKP dilaksanakan, jangkitan positif kes agak tinggi yang mana pada 21 Mac lalu sebanyak 10 kes positif direkodkan.

“Bagaimanapun, selepas itu, trend positif semakin menurun kepada lapan kes pada 22 Mac, enam kes pada 23 Mac, lima kes pada 24 Mac, empat kes pada 25 Mac dan 26 Mac turut mencatatkan empat kes.

“Ini bermakna jangkitan positif wabak ini menunjukkan trend stabil dan jika kita tetap mematuhi perintah PKP, terdapat kemungkinan selepas 14 hari pertama PKP ini ia akan menurun.

“Semoga objektif kita untuk mencapai sifar positif dalam beberapa minggu lagi dapat dicapai,” jelasnya.

Menurutnya, itu adalah keputusan awal selepas perlaksanaan PKP dan apa yang penting adalah trend sekarang stabil.

“Jika angka itu benar-benar terus menurun dan mencapai sifar kes dan rakyat mematuhi PKP, jawatankuasa kita akan mengadakan mesyuarat lain untuk membincangkan tindakan seterusnya,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Sim Kui Hian dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.