Jom kita terokai Gua Niah!

CANTIKā€¦ Permandangan yang cantik yang terdapat di Gua Niah.

Adum Liu

Kemegahan Gua Niah dapat dilihat jelas dari pekan Batu Niah dan merupakan satu daripada destinasi yang  harus dilawati oleh orang Sarawak terlebih dahulu sebelum pelancong luar datang dengan jumlah yang ramai untuk mengagumi keunikannya.

Malangnya ramai warga Sarawak, malah warga berhampiran seperti dari Bekenu, Niah, Miri, Bekenu dan Bintulu yang belum pernah menjejakkan kaki ke lokasi bersejarah ini.

Gua Niah terletak kira-kira lebih sejam setengah perjalanan dari bandar raya Miri dan boleh dilawati secara mudah dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan atau motosikal.

Terletak di Taman Negara Niah, Gua Niah termasyur di dunia kerana di sini wujudnya penemuan penting dalam sejarah dunia apabila ahli-ahli arkeologi menjumpai pelbagai bukti kewujudan awal kehidupan manusia di Asia Tenggara iaitu pada 40,000 tahun yang lampau.

Penemuan seperti lukisan batu, fosil manusia dan kayak kecil seperti keranda menjadi bukti bahawa gua ini pernah dijadikan sebagai kawasan perkuburan manusia zaman sebelum kini.

Bagi pencinta alam dan sejarah, inilah salah satu lokasi untuk menghayati keindahan flora dan fauna, selain menggali aspek-aspek sejarahnya.

Penerokaan di Taman Negara Niah pasti akan memberi pengalaman yang menarik dan berharga, apatah lagi jika ini pengalaman pertama seseorang ke gua.

Pengunjung boleh mendapatkan info  menarik di Taman Negara Niah kerana  terdapat banyak aktiviti lain yang boleh dijalankan di sini seperti meredah denai melalui Madu Trail dan  Bukit Kasut Trail, selain melawat Traders Cave, Kuala Gankira dan menikmati suasana inap desa di  Rumah Panjang Tangap yang terletak berdekatan dengan Gua Niah.

Bagi yang berminat untuk meneroka Taman Negara Niah, boleh menginap di hostel ataupun chalet dengan membuat tempahan melalui Jabatan Perhutanan Sarawak dan atau melepaskan lelah di  hotel bajet di pekan Batu Niah dan Sepupok.

Jadi apa ditunggu lagi, datanglah dan terokai sendiri pengalaman menarik di Taman Negara Niah dan terokailah Gua Niah yang pernah kediaman nenek moyang kita dahulu.