Feri beroperasi 7 pagi hingga7 malam

KUCHING: Semua perkhidmatan feri di Sarawak hanya akan beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam sahaja setiap hari kecuali Feri Sungai Limbang dan Feri Sungai Krian akan ditutup untuk orang awam.

Pengarah Kerja Raya Sarawak Datu Zuraimi Sabki berkata, tindakan ini diambil selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Akta Polis 1967.

“Seperti yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian, berkuatkuasa 25 Mac sehingga tamat tempoh PKP iaitu 14 April, perkhidmatan feri di seluruh negeri untuk orang awam akan dipinda,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, perkhidmatan feri yang beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam adalah feri lintasan Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Batang Paloh, Muara Lassa, Batang Igan, Sungai Sian,  Batang Kemena, Sungai Lidan dan Batang Lawas.

Sementara itu laluan feri di Sungai Limbang dan Sungai Krian di Kabong adalah ditutup untuk orang awam.

Terdahulu Perdana Menteri pada Rabu mengumumkan bahawa PKP dilanjutkan sehingga 14 April daripada tarikh asal 31 Mac berikutan trend jangkitan positif Covid-19 masih berterusan dan belum menurun.