Kuching dalam zon merah

KUCHING : Bandar raya ini dikategorikan sebagai salah sebuah zon merah bagi kes jangkitan wabak Covid-19 di negara ini dengan catatan sebanyak 72 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui hantaran di laman sosialnya menunjukkan Kuching sebagai daerah di Sarawak yang mempunyai kes jangkitan tertinggi.

“Sementara itu, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang merupakan daerah di Selangor yang disenaraikan sebagai zon merah.

“Begitu juga Tawau (Sabah), Kota Bharu (Kelantan), Hilir Perak dan Kinta (Perak), Lembah Pantai, Titiwangsa dan Kepong (Kuala Lumpur), Seremban (Negeri Sembilan) dan Johor Bahru dan Kluang di Johor menjadikan keseluruhan 15 daerah di seluruh negara yang dikategorikan sebagai zon merah setakat Sabtu lalu, ” katanya.

Menurut KKM,  di Sarawak, daerah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi selepas Kuching ialah Miri dan Betong yang masing-masing mencatatkan lapan kes namun tidak dikategorikan sebagai zon merah.

Sementara, Bintulu dan Limbang pula mencatatkan sebanyak enam kes diikuti Sarikei lima kes, Serian tiga kes, Mukah dan Sibu dua kes manakala Simunjan dan Lawas masing-masing satu kes.

19 daerah lain pula seperti Sri Aman, Kapit, Asajaya, Baram, Bau, Belaga, Dalat, Daro, Julau, Kanowit, Lundu, Matu, Song, Saratok, Lubok Antu, Meradong, Pakan, Tatau dan Selangan tidak mencatatkan sebarang kes setakat ini.

KKM dalam hantaran tersebut juga menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan seperti membasuh tangan dengan air dan sabun.

Mereka juga diingatkan untuk melakukan penjarakan sosial jika perlu mendapatkan bekalan makanan di pasar raya dan juga mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah.